TIPS BERGUNA UNTUK YB PAS: PESAN- PESAN EMAS DATO NIK AMAR.




TIPS BERGUNA UNTUK YB PAS: PESAN- PESAN EMAS DATO NIK AMAR.
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Beliau duduk bersama kami, mengunyah perlahan kudapan malam kami. Galur keturunannya daripada latarbelakang ulama besar dan berdarah Istana. Tok Ayah Kedah ,datuknya membuka pusat pendidikan Islam , ulama tersohor yang memacak kefahaman Islam kepada masyarakat agrarian. Dia membetulkan tempat duduk dan mula membuka bicara, kami anggota legislatif yang relatif masih muda ( baru ) .

" enta jangan berjanji..kalau rakyat minta, beri setakat yang mampu..jangan biar orang yang meminta balik dengan kecewa..beri apa pun sedikit", ujar tokoh PAS yang aku kenali sejak 1994. Mengenalinya sebagai Pensyarah Kanan UIAM yang juga mengajar berkitab di masjid ar Rahman Universiti Malaya. Kuliahnya bertenaga dan memancing pesona kami anak-anak muda kail panjang sejengkal yang belajar di kampus UM mahu pun UIA.

Beliau pernah berada dalam barisan Exco DPP Wilayah Persekutuan. Dipanggil balik bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa pada tahun 1995, seterusnya nama Ustaz Nik Amar mula mencuat sebagai MP dan berada dalam kepimpinan Pemuda Pusat. Zaman itu Ustaz Abu Bakar Chik memimpin Dewan Pemuda, kami dalam pemuda terlibat dengan puluhan demonstrasi ditengah jantung kota.

" ana beranak ( dilahirkan) semasa ayah ana berceramah,sebab itu ana suka berceramah" ungkapnya sambil menyeringai. Almarhum ayahandanya menjadi ADUN semenjak tahun 1959 dan menjadi tahanan ISA dalam dekad 60an. Sering mengikuti ayahnya berceramah dan bermesyuarat semenjak zaman budak-budak lagi. Melihat bagaimana nilai ukhuwwah dan persahabatan dalam kepimpinan PAS, berdebat mengunyah agenda mesyuarat tetapi menjaga serapi mungkin ukhuwwah.

" ana tak pernah melihat kesedihan almarhum Tok Guru Nik Aziz sehebat semasa ayah ana meninggal.. tersedu sedan arwah mengelap airmata..arwah ayah ana yang mengusahakan Tok Guru mengisi borang PAS, bertanding dalam PRK Kelantan Hilir pada tahun 1967...dalam mesyuarat bertepuk meja ,,tetapi hanya dalam mesyuarat ..semuanya demi jamaah, bukan perbalahan peribadi" imbau anak tokoh PAS Kelantan yang pernah menjadi hanya satu-satunya MP PAS pada tahun 1986.

" Enta jangan abaikan jentera.. terutama tok ngulu, tok imam, set-set gedebe, tokoh- tokoh dalam masyarakat. Kena ziarah, kena ajak berbual..tiada pilihan, bina hubungan tak formal. Mereka akan seronok untuk berbual, bercerita, mengadu masalah masyarakat..beri masa sedikit. Jangan menyorok dalam rumah" ujarnya berbunga nasihat daripada hati yang paling dalam.

" pakailah kereta yang baik untuk bergerak, sebahagian masa untuk ke program dengan kereta..abaikan kritikan. Aktivis kita akan faham bab ini, ana ada kisah mula-mula jadi wakil rakyat...seorang pakcik kampong ana,,pusing dan mengamati kereta ana..dia marah pakai kecil ..wakil rakyat kena pakai kereta yang munasabah dengan pergerakan" tukas Dato Nik Amar. Aku menyetujui pandangan ini dengan puluhan kali tersadai dalam gelap malam akibat kerosakan kereta sehingga merosakkan banyak program serta menyusahkan ramai orang terutama anggota AMAL dan ARC.

" berilah banyak masa dengan masjid dan surau, mengajar dan bertazkirah..jumpa masyarakat ditempat begini. Lihat contohnya Dato Stopa Mamat, dia gilirkan masjid balaisah setiap waktu solat jika balik pada hujung minggu ke Jeli. Ana juga gilirkan masjid hari jumaat, itu medan bertemu dengan rakyat.." nasihat Speaker DUN Kelantan itu kepada kami . Nadanya agak serius sambil membetulkan kaca mata . Masjid adalah medan pertemuan, usai berkuliah akan disusuli dengan pelbagai program masyarakat seperti tahnik, doa selamat, solat hajat, tahlil.

" jangan penuhkan semua jadual harian, bulanan bersama parti dan masyarakat. Beri sedikit masa paling kurang sehari untuk keluarga. Ada anak pimpinan dahulu yang protes ayah mereka yang tersangat sibuk dengan jamaah..bawa berjalan , makan atau paling kurang duduk duduk sahaja dengan mereka" nasihat itu sangat membekas. Aku menarik nafas panjang, menekuni bait-bait kalam nasihat seperti butiran emas permata. Bukan semua darah daging mempunyai tendensi yang sama, ada yang memilih berpangku lengan dan hidup tak terbeban dengan memikirkan masalah ummah. Iman tak dapat diwarisi!

" Jangan memaksa diri bekerja sehingga mengabaikan kesihatan diri, ana semasa PRU...ana pastikan antara maghrib ke waktu Isyak adalah waktu rehat seketika. Ana pernah rasa berat belakang kepala..kena hati-hati dengan pemakanan, ruang masa untuk berpeluh" ujar guru silat merangkap Penasihat NGO Persilatan Tapak Suci Malaysia itu. Tak pelik jika gagal menjaga kesihatan maka pimpinan akan terdedah dengan penyakit kardiovaskular dalam usia empat siri.

" Jom dah masuk maghrib.." dia melihat detikan waktu dan kami berserakan mencari tempat berwuduk. Tak rugi mencicip makan dan minum dengan sosok dakwah dan siasah ini. Dia sentiasa bertenang, terimbau kembali 26 tahun lepas aku pernah tersadai kereta dalam gelap malam lebuhraya PLUS akibat kehabisan minyak petrol. Aku yang cuai dalam keralikan berlabun usai pgram forum di Hulu Selangor. Tenang is good!. Semoga nasihat Ustaz Nik Mohd Amar menyuntik semangat baru kepada kami semua, kita ini marathon bukan spring ,katanya separuh canda.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, ADUN Jerteh)

Ulasan