Ulang tahun hari terduduk: Satu Malaysia terduduk!

Ulang tahun hari terduduk: Satu Malaysia terduduk!
January 26, 2024


INGATKAH anda setahun lepas, Rafizi Ramli pakar formula kesayangan rakyat Malaysia pernah meramalkan bahawa PN iaitu pembangkang akan terduduk pada 25 Januari 2023.

Ya benar!

Akhirnya setelah setahun PN terus terduduk apabila seorang lagi Ahli Parlimen BERSATU menukar sokongan kepada Anwar. Sekarang sudah 6 Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong Anwar Ibrahim.

Tapi jika kejayaan yang diraikan penyokong PH dan Rafizi adalah kejayaan membeli Ahli Parlimen pembangkang yang telah dinafikan peruntukan dan dana, maka silakanlah. Anda telah ‘berjaya’, tapi di mata rakyat anda kelihatan tiada beza dengan orang jahat yang tiada moral dalam berpolitik.

Lagi ‘menyeronokkan’, kali ini bukan sahaja PN yang terduduk. Sekali dengan rakyat yang tidak bersalah pun terduduk!

Buktinya apa?

(1) Rakyat disajikan 5 cukai baharu iaitu cukai barangan bernilai rendah bagi platform e-dagang sebanyak 10 peratus, cukai barangan bernilai tinggi HVGT 10 peratus, cukai keuntungan modal 10 peratus, peningkatan kadar SST daripada 6 peratus kepada 8 peratus, peningkatan cukai perkhidmatan digital daripada 6 peratus kepada 8 peratus.

(2) Peningkatan tarif air sebanyak 22 sen per meter padu bermula Februari 2024.

(3) Ringgit mencapai taraf terendah sejak 26 tahun lepas. Nilai Ringgit rendah menyebabkan kos import turut meningkat. Menurut pakar ekonomi dari Unirazak Prof Barjoyai, nilai Ringgit yang rendah akan mendatangkan kesan kepada peningkatan kos makanan memandangkan negara mempunyai kebergantungan terhadap bahan makan import yang tinggi iaitu mencecah hampir RM70 bilion.

(4) Tiada lagi pencen bagi penjawat awam yang dilantik bermula 1 Februari manakala ahli politik bergelar Ahli Parlimen, pak menteri terus diberikan pencen.

(5) Isu pegawai perubatan kontrak yang tidak akan diselesaikan. Sistem kesihatan berdepan implikasi negatif yang besar untuk jangka masa panjang.

(6) Stok barangan seharian dan mentah semakin sukar didapati sebagai contoh beras dan gula. Sehinggakan kerajaan terpaksa membawa masuk 557,080 tan metrik gula, tetapi hanya 22,547 tan metrik atau 4.05 peratus dapat dibawa masuk.

(7) Daripada peningkatan cukai dan tarif yang pelbagai, kos sara hidup dan tekanan ekonomi terus meningkat. Menurut Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia, Datuk Shafie menyatakan harga barangan kini meningkat sebanyak 15 peratus dan semakin tidak terkawal.

(9) Sistem PADU yang dilancarkan dengan tergesa-gesa telah meruntuhkan kepercayaan rakyat. Bahkan telah mendapat kritikan mantan Ahli Parlimen DAP, Dr Ong Kian Ming yang menyatakan mekanisme PADU perlu lebih diperhalusi.

(10) Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dikatakan akan menoktahkan kemiskinan sehingga kini tidak dilaporkan sejauhmana keberkesanannya. Contohnya inisiatif IPR Intan berkaitan projek pertanian telah mendapat teguran petani bahawasanya projek tersebut tidak mampan kerana tidak melibatkan Kementerian Pertanian.

(11) Janji politik PH terus dimungkiri termasuklah janji untuk berlaku adil kepada pembangkang, janji untuk tidak meneruskan lantikan politik. Menurut Syed Saddiq, beliau ditawarkan 3.8 juta setahun untuk peruntukan sekiranya meneruskan sokongan kepada Anwar. Jika tidak menyokong, Ahli Parlimen pembangkang akan dinafikan hak.

(12) Dasar Gaji Progresif yang sering dibanggakan Rafizi juga dikritik oleh pakar kerana ia tidak bersifat mandatori dan pengisian dan penerangan berkenaan model ini tidak diterangkan sebaiknya kepada pemegang taruh. Menurut Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia, dasar gaji progresif ini bersifat jenama sahaja.

(13) Hutang negara bertambah hampir RM100 bilion pada tahun 2023 sahaja menurut rekod yang dikeluarkan oleh BNM. Berbeza dengan tempoh pandemik pada 2020 yang menyaksikan pertambahan RM86 bilion dan pada 2021 RM97 bilion. Namun adakah rakyat merasai hasil baik daripada pertambahan hutang ini?

(14) Eksport negara terus menurun sejak April 2023. Eksport menurun sebanyak RM5.58 bilion iaitu 8 bulan berturut-turut sehingga November lepas. Dalam keadaan Ringgit yang semakin rendah sepatutnya eksport negara semakin bertambah namun perkara sebaliknya yang telah berlaku.

Jika diperhatikan segala pendekatan ekonomi diambil oleh Madani adalah untuk penjimatan. Atau dalam bahasa ekonominya dasar austerity.

Sebab itu cukai dinaikkan, pencen dihapuskan. Sebab demi nak menaikkan ‘duit’ kerajaan.

Pendekatan yang mesra polisi IMF ini sebenarnya sudah terlalu banyak dikritik. Kita tahu Anwar adalah penyokong kuat Barat. Beliau ada ramai kawan di blok sana.

Sebab itu tidak pelik apabila polisi ekonomi mesra IMF diambil oleh Madani. Perkara ini diakui sendiri oleh pakar ekonomi Prof Barjoyai, Pakar Ekonomi dari Unirazak yang menyatakan Dasar Ekonomi Madani bukanlah perkara baharu akan tetapi ia dirangka dengan acuan IMF dan World Bank.

Meskipun pelbagai langkah penjimatan dibuat, apakah rakyat merasai kesannya?

Pembaca semua tepuk dada dan buka dompet. Selaju mana duit tuan puan habis dibelanjakan hanya untuk keperluan asas.

UTHMAN CHE AZIZ
Projek Anak Muda Islam – HARAKAHDAILY 26/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Ulasan