6 pelajar bergaduh di sekolah dilepas tanpa dibebaskan


6 pelajar bergaduh di sekolah dilepas tanpa dibebaskan
Oleh Aizat Sharif - Februari 21, 2024 @ 3:11pm

KANGAR: Enam pelajar sekolah menengah di negeri ini yang di dakwa di Mahkamah di sini, hari ini kerana bergaduh dalam kawasan sekolah tahun lalu, dilepaskan tanpa dibebaskan.

Keputusan dibuat oleh Majistret, Nurshahida Abdul Rahim selepas keluarga tertuduh bersetuju untuk menyelesaikan perkara berkenaan di luar mahkamah.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh yang berusia 17 tahun didapati berhimpun dengan menyalahi undang-undang bertujuan untuk bergaduh di mana perbuatan berkenaan dilakukan antara jam 10.45 pagi hingga 11 pagi pada 1 Ogos tahun lalu di satu kawasan lapang bersebelahan kantin sekolah.

Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala semua tertuduh diwakili peguam, Ch'ng De Sern.

Prosiding pada kali ini sebagai lanjutan sebutan semula kes selepas pertuduhan terdahulu dibuat pada 10 November tahun lalu dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.


Sementara itu, De Sern ketika ditemui di luar mahkamah berkata, keputusan yang dibuat mahkamah itu disambut baik oleh pelajar dan keluarga yang mahukan kes ini diselesaikan secara baik di luar mahkamah.

"Hasil perbincangan bersama waris keluarga bersetuju untuk menarik balik kes itu kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan dan semuanya sudah berbaik dan berdamai.

"Malah keputusan ini penting kepada masa depan pelajar terbabit memandangkan semuanya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada akhir tahun ini," katanya.

"Apa yang penting adalah masa depan untuk pelajar berkenaan yang masih panjang untuk menjadi warga yang berguna untuk negara," katanya.

Selain itu juga, apa yang membanggakan dari kes berkenaan adalah bukan sahaja pelajar yang terbabit menjadi lebih rapat tetapi juga kalangan ahli keluarga mereka.

Ulasan