Analisis Pemilu 2024 – Muhammad Ismi




Analisis Pemilu 2024 – Muhammad Ismi
February 14, 2024


PILIHAN RAYA Presiden Indonesia (Pilpres) atau Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 menandakan satu babak penting dalam episod peralihan kuasa negara kepulauan tersebut.

Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, pilihan raya bukan sahaja menjadi penanda aras kepada tahap kematangan demokrasi, namun menjadi kayu ukur kepada kestabilan ekonomi dan pembangunan bagi sesebuah negara.

“Dalam pilihan raya bertarikh hari ini 14 Februari, rakyat negara keempat terbesar di dunia (Indonesia) menghadapi tugas berat untuk memilih pemimpin yang akan membawa negara mereka ke arah pembangunan, kestabilan, dan kemakmuran.

“Lebih 200 juta orang pengundi di seluruh pelosok negara, pengurusan pilihan raya di Indonesia sangat mencabar berikutan faktor geografi negara tersebut yang berbentuk kepulauan dan memerlukan tahap persediaan logistik yang sangat tinggi.

“Sebanyak 800 ribu tempat pengundian dijangka akan dibuka di lebih enam ribu pulau di dalam negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, terdahulu, keputusan Pilpres menyaksikan lebih 80 peratus pengundi memilih semula Joko Widodo atau dikenali sebagai Jokowi sebagai Presiden Indonesia pada 2019.

“Jokowi dikatakan telah melakukan percubaan untuk bertanding kali ketiga memandangkan tempoh had seseorang individu dibenarkan menjadi Presiden Indonesia adalah dua penggal sahaja.

“Namun, usaha beliau gagal memandangkan ia tidak mendapat sokongan dari partinya iaitu Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang dipimpin oleh Megawati Sukarnoputri,” katanya.

Tambah Ismi, calon Presiden yang mencuba nasib kali ini digandingkan dengan calon Wakil Presiden (Naib Presiden) masing-masing iaitu Prabowo Subianto bersama Gibran Rakabuming Raka, Ganjar Pranowo bersama Mahfud MD dan Anies Baswedan bersama Muhaimin Iskandar.

Calon pertama

Prabowo yang juga Menteri Pertahanan Indonesia telah membuat kejutan mengumumkan anak sulung Jokowi iaitu Gibran untuk menjadi pasangan beliau bagi calon Wakil Presiden dalam pilihan raya tersebut.

Sebelum ini, Gibran merupakan Datuk Bandar Surakarta iaitu tempat yang sama dan tapak pertama Jokowi menjadi ahli politik dengan memegang jawatan yang sama.

Gandingan ini menampilkan manifesto untuk menghapuskan kemiskinan tegar dalam masa dua tahun di samping meneruskan rancangan pemindahan ibu negara ke Kalimantan yang digagaskan oleh Jokowi.

Bagi Prabowo, beliau mendapat sokongan yang begitu kuat dan kukuh daripada partinya iaitu Parti Gerindra untuk bertanding bagi kali ketiga.

Selain itu, sokongan signifikan juga diberikan oleh Parti Golkar yang sememangnya sebuah parti politik yang berpengaruh sejak sekian lama di Indonesia.

“Prabowo juga mendapat sokongan daripada Parti Amanat Nasional (PAN) dan Parti Demokrat. Situasi ini menunjukkan terdapat empat buah parti dominan yang menyatakan sokongan kepada Prabowo.

“Parti Demokrat merupakan parti dipimpin oleh bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang mengalih sokongan kepada kem Prabowo dari kem Anies berikutan keengganan Anies untuk melantik anak Susilo, Agus Harimurti Yudhoyono sebagai calon Wakil Presiden.

“Selain itu, gandingan Prabowo – Gibran mendapat dokongan penuh dari Jokowi berikutan penyertaan Gibran iaitu anak sulungnya dalam persaingan ini,” katanya.

Ismi menyatakan, gandingan ini mudah menempa populariti berikutan dengan status dan latar belakang kedua-dua calon ini termasuklah sokongan kuat Jokowi yang masih berkuasa walaupun kemenangan Jokowi sebelum ini adalah hasil sokongan penuh Parti PDI-P.

“Dipercayai sokongan Jokowi ini merupakan salah satu petanda bahawa beliau cuba mengekalkan pengaruhnya dalam pentadbiran akan datang walaupun tidak bergelar Presiden lagi.

“Sehingga kini, Prabowo dan Gibran Rakabuming mengekalkan kedudukan teratas dalam perlumbaan pemilihan Presiden dengan memperoleh sokongan 50.7 peratus berdasarkan tinjauan terbaru,” ujarnya.

Calon kedua

Calon kedua, pihak Ganjar Pranowo secara ironinya mendapat sokongan daripada parti PDI-P yang popular menyokong kepimpinan cemerlang Presiden Jokowi sebelum ini.

Sokongan ini sangat signifikan kepada Ganjar kerana majoriti rakyat Indonesia melihat Jokowi merupakan pencetus pembaharuan pembangunan kepada Indonesia walaupun Jokowi tidak lagi bersama dengan parti ini bagi menyokong gandingan yang menampilkan anaknya sebagai Wakil Presiden.

“Ganjar merupakan bekas Gabenor Jawa Tengah selama dua penggal mempunyai persamaan latar belakang marhaen seperti Joko Widodo.

“Beliau juga merupakan anak kepada anggota polis dan usahawan, selain lebih dikenali sebagai calon yang berada di luar lingkungan kumpulan elit dan ketenteraan yang selama ini membayangi pemerintahan negara tersebut sejak sekian lama.

“Dalam manifestonya, beliau menjanjikan 17 juta pekerjaan baharu, kewujudan lebih banyak program kebajikan sosial dan akses kepada pendidikan tinggi yang lebih besar,” katanya.

Selain itu, Parti Persatuan Pembangunan (PPP) juga memberikan sokongan kepada Ganjar Pranowo sebagai calon Presiden 2024 yang mengukuhkan lagi sokongan kepada Ganjar.

“Beliau sebelum ini membina reputasi di Jawa Tengah dengan melaksanakan polisi kebajikan seperti pemotongan caj faedah terhadap pinjaman mikro, bantuan baja kepada para petani dan potongan pendapatan wajib oleh penjawat awam sebanyak 2.5 peratus tujuan sumbangan pendidikan dan kesihatan di wilayah itu.

“Beliau memilih Mahfud yang merupakan bekas Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Keselamatan dalam Kabinet Jokowi sebagai gandingannya kali ini.

“Sehingga kini, gandingan Ganjar Pranowo dan Mahfud Md memperoleh 19.7 peratus dalam bancian terkini dan meletakkan mereka sebagai gandingan yang ketiga,” katanya.

Calon ketiga

Calon ketiga, Anies Baswedan yang mewakili Parti Nasdem telah meletakkan kepercayaan kepada Anies untuk menjadi calon Presiden.

Anies juga mendapat sokongan yang signifikan daripada Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB).

Anies merupakan bekas Gabenor Jakarta dari 2017 hingga 2022 dan mempunyai latar belakang ahli akademik Islam dan bekas menteri.

“Anies sejak sekian lama telah mendapat penghormatan dari kalangan tokoh-tokoh intelektual di Indonesia berikutan inisiatifnya menganjur pelbagai program intelektual bertaraf antarabangsa semasa menjadi Gabenor Jakarta.

“Beliau juga dipuji atas kejayaannya dalam melakukan inisiatif tindakan respon yang cepat terhadap pandemik Covid-19 dan memperbaiki sistem perkhidmatan dan pengangkutan di Jakarta dalam tempoh perkhidmatannya selama lima tahun.

“Bagi merebut kerusi Presiden, beliau telah memilih Muhaimin Iskandar atau dikenali sebagai Cak Imin yang merupakan Presiden PKB, turut merupakan bekas ahli Nahdatul Ulama (NU) iaitu organisasi dakwah yang mempunyai puluhan juta ahli di segenap pelosok Indonesia,” katanya.

Tambah Ismi, kata penganalisis, latar belakang Anies dan Muhaimin sebagai agamawan mampu mempengaruhi ahli NU untuk mengundi mereka pada Pilpres kali ini sebagaimana NU telah didakwa membantu untuk kemenangan Jokowi-Ma’ruf Amin pada 2019.

Anies telah menjanjikan dalam manifestonya untuk melaksanakan kesaksamaan dalam ekonomi, keutamaan dalam diplomasi ekonomi antarabangsa dan akan menghentikan usaha pemindahan ibu negara ke Kalimantan atas alasan ia menelan perbelanjaan yang sangat tinggi.

“Dalam satu siri debat yang disertainya, beliau dengan agresifnya menyatakan tiada keperluan ibu negara dipindahkan ke tempat baharu.

“Sehingga kini, gandingan Anies dan Muhaimin telah mendapat bancian sebanyak 22 peratus mengikut kajian terbaharu iaitu menduduki tempat kedua selepas gandingan Prabowo dan Gibran,” katanya.

Tambah beliau, penganalisis menjangkakan, bahawa tiada calon akan mendapat 50 peratus dan pusingan kedua bagi pilihan raya ini tidak dapat dielakkan.

“Bahkan, sudah wujud ramalan bahawa kem Anies Baswedan akan bergabung dengan Ganjar pada pusingan kedua bagi menentang Prabowo yang dilihat sudah tidak tidak relevan untuk menjadi Presiden Indonesia yang baharu.

“Kelayakan Gibran juga masih dipertikai sebagai calon Wakil Presiden berikutan pengecualian yang diperolehinya oleh Mahkamah Perlembagaan walaupun dengan jelas had umur bertanding haruslah berusia 40 tahun dan ke atas.

“Usia Gibran yang baru menginjak 37 tahun dan wujudnya fakta bahawa salah seorang hakim yang terlibat dalam membuat keputusan pengecualian adalah merupakan seorang ipar kepada Jokowi, tidak mengejutkan umum bahawa kredibiliti gandingan ini terus dipertikaikan,” ujarnya.

Debat Umum

Dalam memilih Presiden Indonesia, rakyat Indonesia secara umumnya akan menyaksikan siri-siri perdebatan umum di media perdana yang disertai oleh calon-calon Presiden.

“Pelbagai isu akan didebatkan dalam sesi perdebatan seperti ekonomi dan kos sara hidup rakyat, membanteras rasuah atau korupsi, kelangsungan kehidupan anak muda, kestabilan kerajaan dan kepemimpinan, termasuk pembangunan dan kesejahteraan Indonesia – merujuk kepada isu pengangguran dan inflasi.

“Namun, berdasarkan hasil bancian, didapati bahawa pengundi lebih tertarik kepada personaliti dan pengalaman calon tersebut.

“Pengundi lebih berminat untuk mengetahui tahap kemampuan seseorang calon itu dalam memimpin negara berbanding dasar dan polisi yang dibawa oleh calon tersebut,” kata Ismi.

Katanya, berdasarkan pengamatan penganalisis dalam salah satu siri debat, Anies dan Ganjar dilihat menguasai pentas debat apabila beliau berjaya mengutarakan hujah-hujahnya lebih baik daripada Prabowo yang dilihat agak beremosi dan kelihatan gagal menjawab soalan yang diajukan kepada mereka.

Bahkan, Prabowo cuba meletakkan kelemahan semasa beliau menjawat Menteri Pertahanan kepada Kementerian Kewangan kerana gagal memperolehi aset ketenteraan yang baharu. – HARAKAHDAILY 14/2/2024

Ulasan