Bawang merah China kurang, bekalan dari Belanda pula dijual mahal

Bawang merah China kurang, bekalan dari Belanda pula dijual mahal
Oleh Mohamed Farid Noh - Februari 6, 2024 @ 3:29pm
Tinjauan BH mengenai kenaikan harga bawang di sebuah pasar di Tampoi Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

JOHOR BAHRU: Bekalan bawang merah yang diimport dari China didakwa kekurangan di bandar raya ini susulan permintaan tinggi pengguna sejak dua minggu lalu.

Tinjauan di beberapa pasar termasuk di Perling, Tampoi dan Skudai mendapati bekalan bawang merah import dari China tidak banyak dijual penjual.

Namun ia digantikan bawang merah dari Belanda yang dijual lebih mahal iaitu RM8.50 sekilogram, berbanding bawang merah China hanya sekitar RM4.50 hingga RM5.50 sekilogram

Peniaga kedai runcit di sebuah pasar basah di Tampoi, Haikal Fikri, 31, mendakwa pembekal memaklumkan ketiadaan bekalan bawang merah China di bandar raya ini ketika ini susulan permintaan tinggi.
DISYORKAN UNTUK ANDA










"Sudah hampir dua minggu bekalan bawang merah dari China habis dijual di kedai saya begitu juga banyak kedai runcit yang lain.

"Pembekal mendakwa stok bawang merah dari China sudah kehabisan kerana permintaan yang tinggi dan mereka masih menunggu bekalan baharu tiba dari republik itu.


"Oleh sebab itu, pembekal menggantikan bekalan bawang merah China dengan bawang merah dari Belanda ketika ini, namun ia kurang digemari pelanggan kerana harganya yang mahal selain rasanya yang didakwa kurang sedap," katanya.

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, bekalan bawang dalam negara masih mencukupi meskipun India melarang eksport bekalan itu sehingga Mac depan.

Mohamad dilaporkan berkata, pada masa sama kerajaan turut mendapatkan bekalan bawang dari China, Thailand dan Pakistan.

Dalam pada itu, peniaga kedai runcit yang hanya mahu dikenali sebagai Hashim, 42, berharap pihak berkuasa memeriksa dakwaan pembekal yang menyatakan bekalan bawang merah China mengalami kekurangan di sebalik jaminan diberi kerajaan.

"Agak pelik juga bekalan bawang merah China yang harganya murah tiba-tiba didakwa bekalannya tidak cukup dan digantikan pula dengan bawang merah Belanda yang lebih mahal.

"Sebelum ini tiada isu kekurangan bekalan bawang merah China selepas kita berhadapan kekurangan bawang merah India yang dilarang import oleh negara berkenaan. Diharap pihak berkuasa memantau perkara ini supaya tidak ada manipulasi berikutan hampir musim perayaan," katanya.

Pengguna, Hasnita Awang, 45, berkata harga bawang merah Belanda yang lebih mahal berbanding bawang merah China, menyebabkan pengguna yang tiada pilihan merasa terbeban.

Ulasan