Harga sayur meningkat antara 50 sen hingga RM4 sekilogram



Harga sayur-sayuran di pasar meningkat antara 50 sen hingga RM4 sekilogram (kg) dipercayai berpunca kekurangan bekalan. - Foto NSTP

Harga sayur meningkat antara 50 sen hingga RM4 sekilogram
Oleh Azhar Shahrulnizam - Februari 4, 2024 @ 5:23pm

HULU LANGAT: Harga sayur-sayuran di pasar meningkat antara 50 sen hingga RM4 sekilogram (kg) dipercayai berpunca kekurangan bekalan disebabkan rosak akibat banjir yang melanda.

Tinjauan di Pasar Pagi Semenyih, di sini, mendapati antara sayur yang mengalami kenaikan harga adalah kacang buncis yang kini dijual RM18 sekilogram, berbanding RM16 sebelum ini, selain cili merah kulai, kacang bendi, ubi kentang, dan bawang.

Peniaga Sayur, Basril Johan berkata, perniagaan sayurnya terjejas kerana cuaca yang kerap hujan sejak beberapa bulan yang lalu.

"Lumrahnya memang begitu. Apabila hari hujan, harga sayur terpaksa dinaikkan kerana bekalan terhad. Apabila cuaca panas, harga sayur boleh diturunkan kerana bekalan sentiasa ada.
DISYORKAN UNTUK ANDA










"Antara sayur yang dinaikkan harga pada minggu ini adalah cili merah. Minggu ini saya jual dengan harga RM22 sekilogram. Minggu lalu hanya RM20. Ketika cuaca baik saya pernah menjualnya dengan harga RM12kg sahaja," katanya ketika ditemui BH.

Katanya, apabila cuaca semakin baik harga sayur tidak akan diturunkan secara mendadak kerana ia akan memberi kesan kepada petani.

"Sebagaimana kita tidak menaikkan harga secara mendadak, perkara yang sama akan berlaku dengan penurunan harga.

"Pernah terjadi harga timun diturunkan sehingga RM1kg, akhirnya terpaksa dibuang kerana bekalan terlalu banyak dan harga terlalu murah. Situasi ini yang menanggung kerugian paling banyak adalah petani," katanya.

Sementara itu, BH juga mendapati harga kacang bendi dan kacang buncis masing-masing dinaikkan sebanyak RM2 berbanding minggu lalu.

Kacang bendi pada minggu lalu dijual dengan harga RM10kg tetapi pada minggu ini RM12 manakala kacang buncis dijual RM18kg berbanding RM16 pada minggu lalu.

Pengusaha runcit, Petty Yahya, berkata bawang dari India juga terpaksa dinaikkan sehingga RM10kg.

"Sebelum ini harganya cuma RM6kg tetapi disebabkan stok terhad ia semakin mahal jadi kami terpaksa naikkan harga. Kalau mengikut harga semasa di pasar malam ada yang menjual sehingga RM12kg.

"Ini adalah bekalan bawang India yang terakhir. Saya mula menjual bawang daripada Burma sebagai pengganti dengan harga RM9kg.

"Pelanggan saya rata-rata adalah mereka yang sering ke pasar jadi mereka cakna dengan harga semasa sayur," katanya yang memperoleh bekalan sayur dari pasar borong.

Ulasan