Hubungan pelbagai kaum di Kelantan macam adik-beradik
February 24, 2024
KOTA BHARU: Masyarakat luar Kelantan diminta datang sendiri ke negeri ini untuk melihat layanan yang diberikan oleh pimpinan kerajaan negeri kepada masyarakat minoriti di mana hubungan pelbagai kaum adalah seperti adik-beradik.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sekiranya mereka khususnya masyarakat Cina, tidak datang dan melihat sendiri layanan diberikan pada kaum berkenaan, selagi itu mereka tidak akan percaya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2024 anjuran kerajaan negeri dan Pusat Integrasi Antara Kaum (Peka), malam tadi.
Majis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhsari Muhammad, yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina, di sini.
“Kalau nak tahu, nak bukti bagaimana orang Kelantan bergaul antara satu sama lain, sama ada Cina, India atau Siam, kena datang sendiri. Jika tidak mereka tidak akan percaya jika diberitahu hubungan kita seperti adik-beradik.
“Mereka juga tidak akan percaya sekiranya diberitahu, kita akan bersarapan bersama-sama di kedai orang Cina sama ada kedai makan Bota, Suntoo, White House yang dihadiri oleh semua bangsa untuk makan di situ,” katanya lagi.
Takiyuddin memberitahu, beliau sering ditanyakan oleh media luar negara termasuk masyarakat Cina di luar Kelantan berhubung layanan kerajaan negeri terhadap kaum minoriti di negeri ini.
Pada masa yang sama, Setiausaha Agong PAS itu berkata, Kelantan turut difitnahkan kononnya kebudayaan masyarakat Cina tidak boleh mainkan di negeri ini termasuk tarian naga.
“Harap rakyat Kelantan jangan rasa takut untuk tinggal di sini, kita tiada apa masalah dari segi bangsa, agama, kebudayaan semua tiada masalah.
“Malah kita berbangga anak muda Cina masih kekal menjaga kebudayaan mereka, walaupun usia masih muda tapi sudah aktif dalam persembahan kebudayaan seperti tarian singa, tarian naga, gendang dan sebagainya,” katanya lagi.
Pada majlis itu juga, beliau turut mengumumkan untuk sambutan Tahun Baru Cina tahun hadapan, permainan kebudayaan masyarakat Cina seperti gendang akan turut akan disertai masyarakat lain seperti Melayu, India atau Siam.
Sambungnya, beliau berharap tahun hadapan kebudayaan berkenaan dapat dipersembahkan oleh pelbagai bangsa bagi meraikan persembahan kebudayaan masyarakat Cina agar dihargai dan diiktiraf kaum lain.
“Saya harap ada yang sanggup mengurus perkara ini. Mengenai sumber kewangan, insyaAllah kita cari penajanya siapa yang bersedia,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/2/2024
Ulasan
Catat Ulasan