Isu enakmen syariah: Kegusaran umat Islam berasas

Isu enakmen syariah: Kegusaran umat Islam berasas
February 14, 2024


Yusfarizal Yussoff ketika muncul dalam diskusi berjudul, Black Friday: Keputusan Nik Elin, Apa Khabar Malaysia? secara langsung di halaman Facebook TV PAS pada hari ini, 14 Feb 2024.

KUALA LUMPUR: Kegusaran umat Islam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, tidak boleh ketepikan dan kesampingkan begitu sahaja.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata perkara itu telah mendapat reaksi pelbagai pihak yang disifatkan sebagai detik hitam kepada umat Islam di negara ini.

“Kegusaran ini ada asasnya yang pertama adalah enakmen yang dicabar kesalahan. Antara 18 kesalahan yang dicabar antara seksyen-seksyen yang dicabar bukan sahaja berada di dalam Enakmen Kelantan, tetapi kesalahan yang dicabar juga mempunyai seksyen-seksyen yang sama perkataannya di dalam enakmen-enakmen di negeri lain.

“(Antaranya ialah) di dalam Enakmen Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Johor dan sebagainya kerana pada masa dahulu, negeri-negeri cuba menyeragamkan Enakmen-Enakmen Jenayah Syariah lantas lahir satu draf yang lebih kurang sama antara negeri-negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam diskusi berjudul, Black Friday: Keputusan Nik Elin, Apa Khabar Malaysia? secara langsung di halaman Facebook TV PAS pada hari ini.

Dalam pada itu Yusfarizal menegaskan, setiap negeri mempunyai kesalahan yang sama sebagai contoh kesalahan muncikari yang membawa maksud apabila seseorang menjadi orang tengah perantaraan kepada penyundalan atau pelacuran.

“Kesalahan Muncikari ini bukan sahaja terdapat dalam Enakmen Kelantan tetapi terdapat di semua di negeri-negeri lain.

“Apabila keputusan Nik Elin membatalkan kesalahan muncikari kerana ia adalah berkaitan di bawah kuasa persekutuan, maka kita gusar enakmen-enakmen lain juga akan dicabar dan kemudian dibatalkan.

“Jadi, ini kegusaran yang bukannya yang tidak berasas, berasas kerana enakmen negeri yang lain juga ada enakmen (dan) ada kesalahan yang sama,” ujarnya.

Beliau berkata, jika terdapat pihak yang mengatakan perkara ini adalah kesalahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan maka mereka sebenarnya telah tersasar dari sudut pendapat.

“Kalau DUN Kelantan buat enakmen begitu (yang) dikatakan tidak pandai membuat undang-undang, tidak semak dengan penasihat undang-undang.. maka bagaimana dengan negeri-negeri lain yang mempunyai kesalahan yang sama?

“Adakah DUN-DUN di negeri lain juga tidak pandai dan tidak menyemak?

“Maka, ini adalah pendapat yang saya kira agak tersasar dan tidak boleh meletakkan seluruh masalah kepada DUN Kelantan kerana ini adalah undang-undang yang cuba ingin menyeragamkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/2/2024

Ulasan