MUKADIMAH
MEMPERKATAKAN tentang Akta Penggubahan Wang Haram (AMLA) semestinya terkait dengan peristiwa serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS).
Pengenalan AMLA secara tidak langsung membantu pihak berkuasa bagi mengekang kegiatan jenayah lain termasuk pembiayaan berkaitan aktiviti pengganas.
Namun, ada segelintir yang melihat AMLA sebagai senjata politik sejak kebelakangan ini. Persoalannya, sejauh mana pemahaman masyarakat terhadap kegiatan jenayah di bawah AMLA?
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), TAN SRI DZULKIFLI AHMAD bagi mendapatkan pandangan beliau.
Turut membantu jurufoto, SHIDDIQIEN ZON dan juruvideo FARIS IDRIS.
Rantaian penggubahan wang haram
Penggubahan wang haram ini kalau kita lihat, ia satu perkara yang agak rumit bagi segelintir pihak untuk memahaminya. Namun sebenarnya mudah saja, iaitu satu kesalahan apabila seseorang itu berurusan dengan hasil daripada aktiviti haram.
Ini termasuklah sama ada dia menerima, mengguna, menyembunyi atau menyimpan wang hasil aktiviti haram berkenaan. Dalam erti kata lain, kalau dia terlibat dan berurusan, maka ia jadi satu kesalahan dibawah Akta Penggubahan Wang Haram (AMLA).
Sebagai contoh, katakanlah seseorang itu terlibat dengan kes pecah amanah dengan jumlahnya RM1 juta. Untuk tujuan tertentu dia gunakan duit diamanahkan tadi untuk kepentingan sendiri, beli saham, beli rumah atau simpan dalam akaun. Jadi, perbuatan membeli aset tersebut atau melabur duit daripada pecah amanah merupakan kesalahan penggubahan wang haram.
Selain itu, contoh lain kalau dia terlibat dengan rasuah RM500,000. Kemudian dia guna duit rasuah untuk berjudi di Genting Highland. Maka aktiviti perjudian itu adalah kesalahan di bawah penggubahan wang haram.
Justeru, apa-apa sahaja perbuatan berkaitan hasil aktiviti haram seperti pecah amanah, penipuan, kesalahan yang melibatkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) dan aktiviti seumpamanya, maka dia telah melakukan kesalahan penggubahan wang haram.
Tidak kira sama ada orang yang sama terlibat dalam rasuah atau dia dijadikan sebagai orang ketiga, kawan dan ahli keluarga yang digunakan bagi tujuan menyembunyikan wang berkenaan, mereka terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram.
Jadi, kesalahan itu amat luas dan merangkumi setiap aktiviti transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram.
Apa yang paling penting mesti ada kesalahan utama atau aktiviti haram dan daripada kesalahan utama itu maka ia akan terkait dengan perbuatan berkaitan daripada hasil aktiviti haram, maka itu adalah kesalahan penggubahan wang haram.
AMLA unik
Kita kena faham, ia unik sikit apabila memperkatakan tentang pencegahan wang haram kerana yang pertama, di bawah akta itu, seseorang yang terlibat dalam aktiviti penggubahan haram ini boleh dituduh.
Contohnya, dituduh di atas kesalahan penggubahan wang haram. Yang itu jelas, kes dibawa ke mahkamah dan proses pertuduhan berlaku. Tetapi ada juga keadaan di mana mungkin sebab kekurangan bukti bagi pihak pendakwa raya untuk membuat pertuduhan di mahkamah.
Maka di peringkat proses siasatan, sekiranya terdapat apa-apa harta disita dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pembekuan atau dari tarikh sitaan, (proses sitaan perlu 12 bulan) boleh sekiranya atas apa-apa alasan munasabah yang dibenarkan di bawah undang-undang, Timbalan
Pendakwa Raya memfailkan ke Mahkamah Tinggi untuk melucutkan apa-apa yang disita.
Jadi, ada dua keadaan. Satu dituduh, satu lagi tiada pertuduhan tetapi harta seseorang boleh disita dan dibawa ke mahkamah oleh pendakwa raya untuk dilucut hak harta itu kepada kerajaan.
Kebanyakan kes yang ada sekarang, ada yang dituduh dan disita harta, manakala ada yang dituduh tetapi kemudian selepas pertuduhan berlaku maka di akhir kes berlaku perlucutan hak harta dan pendakwa raya akan minta untuk melucutkan hak apa-apa harta yang disita semasa proses siasatan. Jadi, ada dua senario.
Ikut kehendak antarabangsa
Penggubahan wang haram ini sesuatu yang serius apabila ia menjadi isu antarabangsa. Kita perlu faham uniknya penggubahan wang haram ialah ia satu undang-undang negara yang akan disemak dan dianalisis oleh badan antarabangsa. Wujudnya Akta Pencegahan Wang Haram (AMLA) adalah kehendak badan antarabangsa yang dikenali Financial Action Task Force.
Agensi ini telah membuat ketetapan bahawa setiap negara di dunia ini perlu ada undang-undang pencegahan wang haram. Maka kalau tiada, akan disenaraikan hitam atau dikenakan sekatan ekonomi.
Sebab itu, kita pada 2001 telah menggubal undang-undang tersebut. Setiap tempoh lima tahun undang-undang ini akan dinilai oleh badan berkenaan, dalam erti kata lain sejauh mana kita mematuhi kehendak ketetapan yang telah ditetapkan mereka.
Undang-undang berkaitan penggubahan wang haram ini ada ratingnya dan boleh dilihat dalam laman sesawang Financial Action Task Force dan boleh tengok rating setiap lima tahun.
Evolusi aktiviti penggubahan wang haram
Undang-undang kita kadang-kadang dipinda sehingga beberapa kali bagi mengikuti perkembangan jenayah pencegahan penggubahan wang haram ini dan saya sendiri terlibat dalam proses pindaan tersebut demi memudahkan pihak penguat kuasa.
Kerana kita perlu faham, mereka yang terlibat dengan jenayah ini lebih sofistikated, lebih ke hadapan daripada penguat kuasa. Mereka ada sumber mencukupi. Mereka boleh lantik peguam handal dan akauntan. Malah mereka juga mengkaji negara yang lemah daripada sudut penguatkuasaan wang haram, bagaimana nak menggubah duit haram dan kaji daripada semasa ke semasa.
Bukan itu saja, kekuatan dan kekurangan undang-undang dalam sesebuah negara turut dikaji. Perlu ketahui, kesalahan penggubahan wang haram ini bukan sahaja bersifat domestik, tetapi turut bersifat antarabangsa dan ada rangkaian bagi memproses wang itu. Penggubahan wang haram akan berkembang mengikut teknologi dan proses pindaan undang-undang itu sendiri.
Begitu juga dengan teknologi itu sendiri yang memainkan peranan penting sehingga menjadi satu alat untuk mengubah wang haram.
Contohnya, dalam masa terdekat, kita cakap mengenai digital currency (mata wang digital), dalam erti kata lain mata wang crypto. Ini contoh perkembangan baharu hasil daripada teknologi blockchain.
Perlu diingat, kita tidak dapat hendak lawan perkembangan arus teknologi. Justeru penjenayah melihat ia sebagai tools yang baik dalam penggubahan wang haram.
Jadi, keperluan penguatkuasaan itu sendiri bukan hanya untuk memastikan siasatan dibuat dengan baik telus dan adil, tetapi pada waktu sama penguat kuasa juga perlu selari dengan perkembangan teknologi sedia ada, yang berlaku dalam dunia.
Ini penting kerana kegagalan menyiapkan penguat kuasa dengan teknologi akan melambatkan dan menggagalkan proses siasatan.
DI sebalik undang-undang sedia ada
Buat masa sekarang, undang-undang sedia ada sudah cukup. Cuma apa yang perlu dilakukan oleh penguat kuasa adalah menambah baik kemampuan pegawai penyiasat.
Alat untuk menyiasat perlu ditambah baik di samping kemampuan pegawai itu sendiri.
Tambahan pula siasatan berkaitan AMLA akan melibatkan money trail dan juga melibatkan banyak akaun syarikat, dokumen kewangan dan transaksi kewangan yang bukan hanya melibatkan dalam negara, tetapi tapi di luar negara sebagaimana 1MDB.
Kesalahan 1MDB berlaku di banyak negara, di Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura. Malahan siasatan dijalankan di merata dunia.
Jadi, kemampuan pegawai penyiasat perlu dipertingkatkan seiring dengan peralatan. Ini antara perkara yang perlu difokuskan penguat kuasa dan tidak boleh berpuas hati dengan apa yang ada.
Selain itu, pegawai penyiasat juga perlu ada pengetahuan daripada sudut akaun, audit dan undang-undang antarabangsa untuk berurusan dengan agensi luar negara. Ini antara keperluan mendesak buat masa sekarang demi memastikan pegawai penyiasat benar-benar terlatih daripada segi skil dan pengetahuan.
Saya masih ingat lagi pada waktu zaman dulu peringkat awal, AMLA diluluskan di Parlimen pada 2001 dan dikuatkuasakan pada 2002.
Kita hanya menguatkuasakan AMLA ini iaitu daripada segi siasatan dan pendakwaan hanya pada 2004, iaitu selepas Jabatan Peguam Negara menubuhkan unit pendakwaan yang melibatkan pencegahan wang haram.
Saya diamanahkan ketuai unit itu pada 2004. Sebab itu, kita ambil masa lama iaitu dua tahun kerana ia satu undang-undang yang diperlukan di peringkat antarabangsa, bukan satu undang-undang yang kita sendiri mahukan, dalam erti kata lain semua ahli Parlimen berbincang kemudian kita gubal.
NRRET atau NFCC?
Kalau dilihat semula sejarah, Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Negara (NRRET) bermula pada tahun 2013 hasil cetusan idea Peguam Negara (AG) pada masa itu iaitu Tan Sri Abdul Ghani Patail.
Maka ada keperluan untuk mengadakan kerjasama antara agensi sebab ada yang bersifat silo. Apabila ada keperluan, maka lahirlah pasukan petugas khas secara administratif yang dianggotai beberapa ketua agensi penguatkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Saya mengetuai pasukan petugas khas ini.
Kemudian akhirnya selepas itu apabila berlakunya pertukaran Peguam Negara kepada Tan Sri Apandi Ali, beliau mahu menjenamakan semula dan jadilah NRRET, maka daripada situlah asal penubuhannya.
Daripada sudut kerangkanya dan tujuan sama iaitu untuk mendapatkan semula cukai yang dilarikan sama ada cukai pendapatan atau cukai kastam selain mengurangkan ketirisan subsidi terutama minyak.
Maka undang-undang yang diguna pakai adalah pencegahan wang haram dan dalam tempoh itu kita dapat lebih kurang hampair RM1 bilion cukai yang dilarikan.
Itu tidak termasuk daripada sudut pengurangan ketirisan subsidi (minyak) yang banyak kali cuba diseludup keluar .
Selain itu, kejayaan lain adalah mendapatkan cukai daripada judi dilesenkan iaitu tidak membuat tafsiran keuntungan yang jumlahnya mencecah ratusan juta ringgit. Itu yang ada lesen. Cuba awak bayangkan judi yang tiada lesen? Malah kita juga dapat cukai daripada kenderaan mewah yang diimport masuk ke negara ini. Selepas itu apabila kerajaan ditukar, berlaku perubahan dasar dan NRRET dibubarkan.
Ditubuhkan pula satu agensi yang bergerak secara administratif berteraskan undang-undang iaitu National Anti Financial Crime Centre (NFCC) atau Pusat Pencegahan Anti-Jenayah Kewangan Nasional. Akan tetapi keberkesanannya saya tidak boleh komen. Agensi yang ada lebih baik sebab ada kuasa undang-undang kerana penubuhannya berdasarkan satu akta sendiri dan ia cukup cantik. Bagaimanapun malangnya apa yang berlaku, tiada kejayaan bagi sebuah agensi yang ditubuhkan selepas 2018. Boleh dikatakan tidak nampak.
Bukanlah saya mahu mengkritik, tetapi itulah realitinya. Saya memang terfikir pada masa itu bahawa NRET perlu diinstitusikan dan ada undang-undang tersendiri.
Maka selepas itu ia jadi nyata dan memang ada undang-undang dengan struktur lebih baik sebab pelantikannya pun daripada Yang di-Pertuan Agong. Akan tetapi tidak nampak impaknya selepas 2019 sampai sekarang. Mungkin satu kelebihan yang ada ialah data yang dikumpulkan itu bagus.
Cuma daripada sudut penguatkuasaannya kurang jelas jika dibandingkan sewaktu penubuhan pasukan petugas khas dan NRRET. Di mana silapnya itu kita perlu kaji balik.
Lapisan penggubahan wang haram, PEP dan kelonggaran institusi perbankan
Tiga lapisan iaitu penempatan, pelapisan dan integrasi (proses pengubahan wang haram) adalah rumusan yang dibuat ahli akademik, walhal kadang-kadang orang yang terlibat dalam penggubahan wang haram pun tidak tahu ada tiga peringkat ini.
Apabila kita mengkaji barulah kita tahu ada proses-proses berkenaan. Memang benar dalam proses hendak menggubah wang haram, kita lihat bagaimana atau apakah hasilnya nanti.
Hasil aktiviti ini kebanyakan dalam bentuk tunai. Maka di manakah ia perlu ditempatkan? Kalau kita lihat di peringkat pelapisan ini adalah bagaimana penjenayah mahu menjauhkan sumber aktiviti haram yang akhirnya nanti boleh diintegrasikan dalam sistem kewangan sedia ada.
Daripada satu akaun ke akaun lain sehingga ia masuk dan tiada lagi dalam bentuk yang kita boleh katakan hasil aktiviti haram. Malah, ia bertukar menjadi hasil aktiviti yang sah. Justeru, aspek yang kritikalnya di sini adalah undang-undang sedia ada kita antara yang begitu ketat.
Saya sendiri kadang-kadang mempersoalkan tentang dalam tegasnya kita penguatkuasaan sehingga berlebih-lebihan. Saya beri awak contoh.
Sebelum ini saya bekas Ketua Pengarah SPRM dan saya dikategorikan sebagai political expose person (orang yang terdedah kepada politik) atau PEP. Sepatutnya apabila kita ini dikategorikan sebagai PEP, semakan yang dibuat perbankan atau institusi perlu lebih tegas kerana kita terdedah kepada unsur haram.
Bagaimanapun, yang menariknya di sini apabila saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu menjadi lebih mudah dan senang. Malah ada bank datang ‘berlari’ kepada kita apabila ketua-ketua jabatan mahu membuka akaun.
Sedangkan perkara tersebut tidak boleh dan perlu lebih tegas kerana kita ini dikategorikan sebagai PEP, terdedahnya kepada jenayah kewangan lebih besar. Sebab itu, syaratnya pun perlu tegas. Apa yang jadi masalah apabila pegawai bersara seperti saya, sudah tiada jawatan, tapi dalam sistem (perbankan) masih lagi PEP. Masalahnya pihak perbankan mahu buat semakan dengan ibu pejabat dan urusan pembukaan akaun sudah semestinya mengambil masa.
Sepatutnya perlu tegas sewaktu ada kuasa dan ketika menjawat jawatan, bukannya ketika bersara.
Ini tidak, proses urusan menjadi lebih tegas ketika seseorang itu bersara. Saya tiada masalah untuk beberapa tempoh diletakkan di bawah PEP, tapi biarlah ada tempohnya. Dua atau tiga tahun, okey. Kalau empat atau lima tahun bagaimana? Seperti kita buat salah pula. Sistem kita sudah terbalik sebenarnya. Saya percaya kalau ditanya pada BNM, itu polisi sesebuah bank dan atas budi bicara institusi.
Sudah sampai masanya, ada keperluan agar BNM dapat memberi arahan kepada bank supaya PEP ini ada had masa. Lainlah saya menjawat jawatan lain selepas tamat tempoh menjadi Ketua Pesuruhjaya agensi, di syarikat berkaitan kerajaan, itu lain dan memang wajar proses menjadi ketat dan diletakkan di bawah PEP.
Perkemas anggota, aspek penyiasatan
Penguat kuasa perlu perkemaskan lagi kemampuan pegawainya. Sebagai contoh, bagaimana untuk memahami akaun daripada sudut pengauditan dan dalam masa yang sama mereka perlu faham teknologi bagi memudahkan siasatan terutama apabila perlu menyiasat ratusan akaun. Ini yang perlu penguatkuasa pertingkatkan.
Selain itu daripada segi pelantikan juga perlu ada latar belakang kewangan. Tidak boleh ikut proses yang sama. Masalahnya sekarang kita ikut kenaikan pangkat.
Sebagai contoh, kalau ada kosong di AMLA, kita pun pindah dia ke AMLA sedangkan tiada latar belakang AMLA. Mungkin sebelum ini dia dalam bidang narkotik atau jenayah bunuh tiba-tiba diletakkan dalam cawangan AMLA.
Sudah lah begitu, AMLA pula ada masa sitaan 12 bulan dan siasatan mesti dalam tempoh tersebut. Maka dengan keadaan dia yang masih baharu dan tiada latar belakang dalam bidang kewangan, bagaimana dengan hasil siasatan tersebut?
Itu belum lagi tawaran daripada syarikat perbankan dengan tawaran gaji lumayan dan permintaan terhadap pegawai kerajaan berpengalaman untuk mengisi kekosongan di sektor swasta tinggi. Jadi, perkara ini perlu dilihat secara keseluruhan
Hak orang yang disiasat
Undang-undang AMLA ini implikasi amat besar dan digeruni. Cuma saya hendak nyatakan dalam keghairahan untuk menyiasat, kita perlu pastikan juga kepentingan orang yang disiasat, hak-hak mereka terjaga dalam Perlembagaan Persekutuan juga. Perlu diingat apabila buat siasatan, kita perlu berikan hak-hak yang dibenarkan kepada mereka yang terkesan dengan siasatan.
Kita perlu faham 12 bulan harta yang menjadi subject matter adalah satu tempoh masa yang tidak cukup bagi penguat kuasa untuk menyiasat dan sebagainya. Akan tetapi untuk mereka yang disiasat, harta disita 12 bulan itu boleh mengakibatkan kehidupan mereka musnah.
Kehidupan juga akan berubah kerana apabila akaun dibekukan, seseorang itu tiada sumber dan ini amat memeritkan. Jadi, di sana perlu berlaku adil bukan hanya kerana keghairahan untuk menyiasat, tetapi tahu hak mereka yang terlibat, dalam erti kata lain orang yang disiasat. – Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan