Keputusan kes Nik Elin bakal ganggu-gugat masa depan Islam

Keputusan kes Nik Elin bakal ganggu-gugat masa depan Islam
February 10, 2024

Siti Zailah Mohd Yusoff


KOTA BHARU: Susulan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah, telah meletakkan mahkamah berkenaan jauh lebih tinggi berbanding Mahkamah Syariah.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, keputusan berkenaan telah meletakkan Mahkamah Syariah lebih rendah berbanding Mahkamah Persekutuan, tanpa mengambil kira perkara berkaitan agama.

Menurutnya, kesan daripada keputusan itu akan mengganggu-gugat kedudukan Islam di negara ini pada masa depan.

“Apa yang kita bimbangkan, hasil keputusan ini bukan sahaja membolehkan undang-undang di Kelantan dicabar, tetapi seluruh undang-undang Islam di negeri lain juga akan dicabar setelah kejayaan bermula di Kelantan.

“Jadi, mereka akan lebih berani setelah kejayaan tersebut dan golongan liberal ini akan lebih bermaharajalela seolah -olah mereka ada kuasa,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Tambah beliau, apa yang perlu dilihat apabila sesuatu undang-undang atau syariah itu dibuat bukan hanya dari sudut undang-undang fizikal, sebaliknya bagaimana hikmahnya dan kesan jangka panjang terhadap umat Islam

“Kita bimbang suasana yang ada ini akan memberi impak kepada masyarakat Islam yang tidak segan silu lagi untuk melakukan perkara yang bercanggah dengan agama,” ujarnya.

Mahkamah Persekutuan, semalam dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan 16 daripada 18 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut. – HARAKAHDAILY 10/2/2024

Ulasan