Kes Nik Elin: Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda




Kes Nik Elin: Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda
February 14, 2024

KUALA LUMPUR: Pindaan dilakukan terhadap Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan undang-undang yang boleh dibuat oleh Parlimen dan badan perundangan negeri.

Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib tampil dengan cadangan tersebut sambil menegaskan, penjelasan perlu dibuat mengenai definisi jenayah dan ia tidak termasuk kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam yang melanggar perintah agama Islam.

“Situasi ini memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk jelaskan kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah supaya Mahkamah Persekutuan tidak membuat tafsiran mengikut kebijaksanaan para Hakim di Mahkamah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada hari ini (14 Feb) susulan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat (9 Feb) lepas, dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Antara kesalahan dalam enakmen itu yang diisytiharkan batal dan tidak sah adalah Seksyen 11, iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, kesalahan liwat (Seksyen 14) dan persetubuhan dengan mayat (Seksyen 16).

Ketua Hakim Negara berkata, petisyen itu dibenarkan kerana badan perundangan negeri membuat undang-undang yang ia tiada kuasa membuatnya dan tiada kena mengena dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah.

Keputusan berkenaan mengundang pelbagai reaksi, termasuk pihak yang turut mengaitkan penghakiman Mahkamah Persekutuan itu dengan politik, selain mengemukakan pelbagai cadangan.

Sehubungan itu, tambah Ismi, keputusan Mahkamat Persekutian itu berpotensi membuka kepada kesan domino iaitu boleh menjatuhkan satu persatu undang-undang syariah peringkat negeri-negeri di Malaysia.

“Rakyat khuatir dengan perkembangan ini yang memberi gambaran seolah-olah undang-undang syariah di negara kita boleh dipandang rendah.

Pada ketika ini, ujar Ismi, satu-satunya jalan bagi menyelamatkan undang-undang syariah adalah melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Hakikatnya, kini sudah sampai masanya kerajaan memandang serius untuk memperkasa dan memartabatkan undang-undang syariah.

“Harapan saya polemik ini berakhir dengan usaha sama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri secepat mungkin bagi meredakan kebimbangan rakyat beragama Islam di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/2/2024

Ulasan