Khabar besar buat Islam dari Pemilu Indonesia


Khabar besar buat Islam dari Pemilu Indonesia
February 14, 2024

Share
Kira-kira 204 juta warganegara Indonesia mengundi dalam Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu 2024) pada hari ini, 14 Feb 2024. (FOTO: tvOneNews)

Tahu bukan hari ini, 14 Februari 2024 adalah hari bersejarah Indonesia? Kira-kira 204 juta warganegara negara jiran kita itu akan memilih individu nombor 1 dan nombor 2 mereka dalam Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu) 2024.

Dalam penulisan yang lepas, saya ada ceritakan secara ringkas sistem dan perjalanan pilihanraya umum di Indonesia.

Boleh baca pada pautan ini untuk tahu:

Kali ini, jom kita sambung lagi persoalan yang saya pernah tinggalkan berkenaan Pemilu Indonesia 2024.

Antaranya adalah berkenaan gandingan calon No. 1, Prabowo Subianto dan calon Naib Presiden untuk Prabowo, Gibran Rakabuming Raka.

Siapakah Gibran?

Gibran ialah anak kepada Jokowi. Merupakan Walikota di Surakarta. Apa yang menarik pada kisah Gibran adalah kontroversi Perlembagaan Indonesia yang dilangkau demi meluluskan pencalonan beliau selaku calon Naib Presiden.

Untuk pengetahuan semua Perlembagaan atau undang-undang Dasar Indonesia meletakkan had umur minimum 40 tahun sebelum layak diusung sebagai calon presiden dan naib presiden.

Lagi ‘menarik’ apabila pencalonan ini dibawa ke Mahkamah Perlembagaan Indonesia, hakim telah memberi pelepasan kepada Gibran. Ia menyebabkan pencalonan Gibran dikira sah dan diterima.

Hakim itu pula rupa-rupanya bapa saudara Gibran merangkap abang ipar kepada Jokowi, Anwar Usman yang akhirnya dipecat selepas keputusannya itu.

‘Menarik’ bukan?

Senario ini telah dikritik keras oleh sebahagian rakyat Indonesia sendiri dan juga badan-badan berkaitan seperti Constitutional and Administrative Law Society (CALS), Komite Independen Pemantau Pemilu, BEM Universitas Nahdlatul Ulama Indonesia dan Perhimpunan Advokat Demokrasi Indonesia.

Apa yang uniknya, Gibran ialah ahli parti PDI-P. PDI-P ada calon Presiden lain iaitu dari calon No. 3, Ganjar Prabowo

Nampak tak ‘keunikan’ di situ? Dua ahli parti sama bertanding pada pasukan berbeza.

Jokowi yang merupakan ahli PDI-P semakin berjauhan dari parti dia sendiri dan juga ketua besar PDI-P, Megawati Sukarnoputri.

Sudah mula timbul persepsi bahawa Jokowi sedang membina dinasti politik sendiri menerusi Gibran sebagaimana budaya politik Indonesia yang amat sinonim dengan politik dinasti.

Sepertinya persepsi ini tidak boleh disangkal lagi. Hal ini juga memberikan imbauan trauma kepada rakyat Indonesia yang pernah merasai era Order Baru bawah Suharto yang membunuh nilai demokrasi.

Tapi, apa yang lebih besar daripada Pemilu kali ini adalah sebuah khabar besar kepada Indonesia yang mempunyai 87% umat Islam.

Perkembangan ini juga membawa perubahan dan kesan kepada umat Islam di Malaysia bergantung kepada keputusan rakyat Indonesia hari ini.

Pertama kita perlu tahu, antara isu pokok umat Islam adalah pertembungan mazhab dan pegangan. Kalau di Malaysia kita ada Kaum Muda vs Kaum Tua.

Di dunia Islam keseluruhannya ia adalah pertembungan antara Salafi dan ASWJ. Di Indonesia, kedua-dua kelompok ini diwakili oleh gerakan-gerakan massa seperti Muhammadiyah, Front Pembela Islam dan Nahdhatul Ulama.

Setiap gerakan ini mempunyai ‘kenderaan’ politik masing-masing meskipun secara dasarnya organisasi kemasyarakatan ini memilih pendekatan sederhana dan tidak berparti.

Sebagai contoh, kelompok Islam moderat dan tajdid akan diwakili Parti Keadilan Sejahtera (PKS).

Kelompok tradisionalis iaitu Nahdhatul Ulama pula diwakili oleh Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) manakala Muhammadiyah khabarnya diwakili oleh Parti Amanat Nasional (PAN).

Indonesia juga ada parti-parti Islam lain seperti Parti Persatuan Pembangunan (PPP) yang kaya dengan sejarah politik, Parti Bulan Bintang yang menyambung semangat Parti Masyumi serta Parti Ummat, serpihan PAN yang ditubuhkan Amien Rais, tokoh besar Muhammadiyah.

Apa yang berlaku Pemilu kali ini?

Penyatuan Ummah ala Indonesia telah terjadi! Itulah realitinya belakang calon No. 1 iaitu gandingan Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar.

Di belakang mereka berdua merupakan gabungan PKS (Islam moderat, haraki) yang sekian lama mengusung Anies, ditambah pula Parti Kebangkitan Bangsa, PKB (Islamis Tradisionalis) yang diketuai Muhaimin Iskandar.

AMIN (Anies + MuhaiMIN), inilah jenama gabungan dua individu ini.

Satu perkara yang kita orang Malaysia harus faham, ini perkara yang sangat besar dan boleh kata ‘unprecedented’ apabila dua aliran Islam yang agak besar boleh bergabung dan duduk sekali!

Ketua Umum Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU), Yahya Cholil Staquf pada 2022 memaklumkan dengan penuh yakin, hasil sebuah survei menunjukkan hampir 59% penduduk muslim Indonesia mengaku sebagai NU.

Lebih kurang 150 juta orang Islam di sana adalah ahli Nahdhatul Ulama ! Jumlah yang sangat signifikan.

Walaupun ada berita mengatakan, PKB dan NU punya hubungan semakin retak dan tidak lah terikat secara rasmi. Rekod Muhaimin Iskandar juga sudah banyak yang tidak begitu baik dengan pimpinan NU.

Namun, elemen hubungan dan perkaitan itu tetap ada. PKB adalah kenderaan politik khusus buat kader NU sejak zaman Gus Dur lagi.

PKS pula sebenarnya boleh dikatakan pewaris spiritual Parti Masyumi, parti Islam terbesar Indonesia dalam sejarah yang pernah memenangi kerusi banyak dalam pilihanraya Indonesia.

Ditubuhkan dari gerakan dakwah dalam kalangan mahasiswa di kampus dan amat dekat dengan pergerakan tajdid dan Islah. Juga mewakili pola pergerakan Islam yang berlainan dengan Islamis tradisional.

Bahkan PKS juga turut dekat dengan manhaj salafi yang mana menjadi antara punca pertembungan antara gerakan Islam dengan aliran tradisionalis di kebanyakan negara Islam.

Namun ajaibnya, bagi Pemilu kali ini, dua aliran ini yang diwakili dua parti Islam paling kuat boleh bergabung!

Inilah khabar besar buat Islam dari Indonesia. Penyatuan ummah di sebuah negara Islam dengan umat seramai ini.

Ia membawa khabar besar kerana impak daripada kerjasama ini cukup besar. Terutamanya dalam mengendurkan pertembungan aliran.

Sesuatu yang semakin meruncing di Malaysia

Sebab itu jika berlaku perubahan di Indonesia, sedikit sebanyak pasti membawa kesan kepada negara kita.

Baik Prabowo, Anies mahupun Ganjar. Kemenangan setiap daripada mereka pasti membawa kesan kepada negara serantau. Lagi-lagi Malaysia yang berkongsi rumpun sama dengan Indonesia.

Projek Nusantara di Kalimantan juga antara projek besar yang hang memberikan impak buat Malaysia yang mana tidak wajar dibiarkan.

Kita doakan pengundian berjalan dengan lancar. Sesi kira undi mungkin berjalan dua hari iaitu hari ini dan esok.

Hanya calon yang melepasi 50% undi akan dikira pemenang, jika tiada calon yang melepasi maka dua calon tertinggi akan berentap semula untuk pusingan kedua kelak iaitu pada 26 Jun depan.

Akhir kata, jika penyatuan ummah di Indonesia berjaya direalisasikan,apa mungkin penyatuan ummah di Malaysia juga boleh dijayakan? – HARAKAHDAILY 14/2/2024

Ulasan