Lengah pinda Perlembagaan buka ruang enakmen syariah negeri terus dicabar


Lengah pinda Perlembagaan buka ruang enakmen syariah negeri terus dicabar
Oleh Dr Intan Nadia Ghulam Khan - Februari 18, 2024 @ 12:38pm

Secara dasarnya, Malaysia, sebagai sebuah negara mengamalkan konsep federalisme, menetapkan pembahagian kuasa perundangan dan eksekutif antara Parlimen/Kerajaan Persekutuan dan Badan Perundangan Negeri/kerajaan negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan, undang-undang tertinggi di negara ini.

Perkara 74 Perlembagaan menetapkan batasan kuasa perundangan bagi Parlimen, iaitu badan perundangan pada peringkat Persekutuan dan Badan Perundangan Negeri turut dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan Senarai Perundangan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan.

Senarai Persekutuan (Senarai I) mengandungi perkara di bawah kuasa perundangan Parlimen dan Senarai Negeri (Senarai II) menyenaraikan perkara di bawah kuasa perundangan Badan Perundangan Negeri. Senarai Bersama (Senarai III) mengandungi perkara di bawah kuasa perundangan kedua-dua badan perundangan.

Butiran 4 Senarai Persekutuan memperuntukkan antara lain undang-undang dan tatacara jenayah serta pentadbiran keadilan adalah di bawah kuasa perundangan Parlimen. Berkaitan jenayah syariah pula, Butiran 1 Senarai Negeri memperuntukkan kuasa perundangan negeri merangkumi pewujudan dan hukuman kesalahan dilakukan umat orang Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan dengan perkara termasuk dalam Senarai Persekutuan.
DISYORKAN UNTUK ANDA









Klausa pengecualian ini berfungsi sebagai batasan dikenakan Perlembagaan terhadap DUN untuk menggubal undang-undang berkenaan undang-undang jenayah syariah seperti kes Iki Putra Mubarrak mencabar kerajaan Selangor pada 2021. Plaintif mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Berdasarkan kes Iki Putra jelas menunjukkan walaupun negeri mempunyai bidang kuasa luas untuk menggubal kesalahan undang-undang mengikut 'perintah ajaran agama Islam', tetapi undang-undang ini tidak boleh menyentuh mana-mana perkara Senarai Persekutuan termasuk undang-undang jenayah.

Kes berkenaan juga membawa kepada ketidaktentuan bidang kuasa dan menimbulkan keadaan 'tiada badan legislatif' sama ada pada peringkat Persekutuan atau negeri boleh menggubal undang-undang menghalang umat Islam melakukan perkara haram dalam syariah.

Dalam kes Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah susulan petisyen dikemukakan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, maka DUN Kelantan tidak lagi mempunyai kuasa perundangan untuk menggubal undang-undang jenayah syariah berkaitan kesalahan terbabit.

Berdasarkan penghakiman Mahkamah Persekutuan, inti pati 16 peruntukan terbabit adalah berkaitan perkara di bawah Senarai Persekutuan, iaitu di bawah kuasa perundangan Parlimen, manakala dua lagi peruntukan turut dicabar iaitu Seksyen 13 dan Seksyen 30 di bawah Enakmen sama diputuskan sah kerana peruntukan terbabit termasuk dalam kuasa DUN Kelantan.

Cabar keabsahan peruntukan

Sudah tentu keputusan Mahkamah Persekutuan ini mendatangkan implikasi terhadap penguatkuasaan dan pendakwaan berkaitan 16 peruntukan terbabit kepada pihak berkuasa agama di Kelantan. Ini juga membawa kepada kemungkinan percubaan mana-mana pihak untuk mencabar keabsahan peruntukan berkaitan di negeri lain pada masa akan datang. Kes ini juga menunjukkan terdapat pertindihan undang-undang jenayah di bawah undang-undang jenayah syariah negeri dan undang-undang Persekutuan berkaitan kesalahan tertentu.

Berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin ini, menunjukkan perlu ada usaha bersepadu pelbagai pihak berkaitan pada peringkat Persekutuan dan negeri untuk meneliti penyelesaian holistik terhadap isu ini.

Di samping itu, amat penting dan mendesak untuk memperhalusi keperluan pindaan berkaitan terhadap Perlembagaan supaya kuasa Badan Perundangan Negeri dalam perkara berkaitan undang-undang jenayah syariah menjadi lebih jelas dan tidak wujud kelompangan.

Ini dapat menutup ruang mana-mana pihak untuk mencabar undang-undang mana-mana pihak terhadap kompetensi Badan Perundangan Negeri menggubal undang-undang jenayah syariah, sekali gus memperkukuhkan termasuk dari sudut pelaksanaan, selaras kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Ulasan