MENTERI PENGANGKUTAN DIBERI MASA SEHINGGA AKHIR MINGGU DEPAN



MENTERI PENGANGKUTAN DIBERI MASA SEHINGGA AKHIR MINGGU DEPAN
Oleh IKMAL EMIR

KUALA LUMPUR: “Kami beri masa kepada Menteri Pengangkutan sehingga akhir minggu depan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penunggang-penunggang GrabFood kerana perkara sebegini tidak boleh lagi dibiarkan begitu sahaja.”

Timbalan Presiden Penghantar P-Hailing Malaysia Abdul Hakim Abdul Rani berkata, setakat ini masih belum ada apa-apa respons daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke setelah penunggang-penunggang melakukan penyerahan memorandum di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya pada Jumaat (16 Feb) lepas.

Namun begitu, kata beliau kepada HarakahDaily, Menteri Pengangkutan dikhabarkan akan meminta penjelasan syarikat GrabFood mengenai pengurangan kadar asas dan bonus secara drastik sehingga menindas penunggang-penunggang GrabFood itu sendiri.

Menurut beliau lagi, baru-baru ini terdapat satu kenyataan daripada Menteri Digital Malaysia, Gobind Singh berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia yang akan dibawa ke Kabinet.

Kata beliau, ini merupakan sesuatu yang perlu dilakukan bagi melindungi hak pekerja-pekerja yang terlibat dalam ekonomi gig itu sendiri.

“Sekarang ini kita boleh lihat banyak kes yang mana ramai orang yang terlibat dalam kegiatan ekonomi gig ditindas dengan teruk oleh sesetengah syarikat kerana mereka hanya mahu mengambil keuntungan tetapi tidak mengambil peduli nasib pekerja-pekerja itu sendiri,

“Jadi, dengan adanya penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), bukan sahaja hak pekerja-pekerja yang terlibat dalam ekonomi gig dapat dilindungi tetapi juga dapat menjaga ekosistem itu sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau, tiada gunanya apabila sesebuah negara mempunyai teknologi yang amat canggih dan memberi keuntungan yang banyak tetapi atas penderitaan orang-orang bawahan itu sendiri.

Perkara sebegini, ujar Abdul Hakim, berlaku bukan sahaja dalam syarikat GrabFood tetapi juga diamalkan oleh sesetengah syarikat yang terlibat dalam ekonomi gig lain.

“Maka, saya sangat menyambut cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia kerana kita perlu menjaga ekosistem yang sedia ada dalam ekonomi gig itu sendiri.

“Lagipun hanya dengan cara sebegini maka kita bukan hanya sekadar menjaga kebajikan pekerja-pekerja gig ekonomi tetapi juga dapat memberi keuntungan yang sewajarnya kepada pihak-pihak yang terlibat,” katanya.
- HARAKAHDAILY 21/2/2024

Ulasan