'Pecat saya dari parti jika bersuara jadi satu kesalahan' - Hassan Karim

'Pecat saya dari parti jika bersuara jadi satu kesalahan' - Hassan Karim
Oleh Wartawan BH - Februari 4, 2024 @ 8:47am
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menjelaskan beliau tidak berkecil hati dengan teguran keras oleh Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.

Sebaliknya Hassan berkata, parti itu boleh memecatnya jika menganggap tindakannya bersuara sebagai satu kesalahan.

"Secara hormat dan merendah diri bahawa saya terbuka dan bersedia sekiranya Parti Keadilan (PKR) ingin memulakan prosiding disiplin ke atas saya kerana bersuara lantang selama ini.

"Jika saya mempertahankan hak saya untuk bersuara dan menyatakan fikiran maka itu dianggap satu kesalahan oleh Kerajaan Perpaduan maka saya bersedia jika saya dikenakan tindakan pemecatan oleh pimpinan parti," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Semalam, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan memberi 'teguran keras' kepada Hassan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang dilihat seolah-olah mahu mencampuri urusan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.


Fahmi berkata, Hassan seharusnya menghormati rakan parti yang kini bersama-sama dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Rabu lalu, Hassan dilaporkan berkata, UMNO perlu diterajui muka baharu dan tidak hanya 'menumpang dahan' PH pimpinan Anwar yang diakuinya 'rapuh' berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.

Hassan dipetik berkata, rombakan pemimpin baharu yang segar, berintegriti dan berkarisma dalam parti itu adalah penting untuk mendapatkan undi Melayu.

Hassan yang juga ahli PKR sejak 46 tahun lalu berkata, sepanjang tempoh lebih empat dekad terbabit dalam politik, inilah kali pertama dia ditegur secara keras dan diumumkan secara terbuka di media sosial atas kesalahan menyatakan fikiran dan pandangan politik.

"Saya tidak berkecil hati. Hanya kerana teguran keras itu diumumkan secara terbuka maka izinkan saya menyatakan juga secara terbuka bahawa tidak ada kegetaran dan ketakutan di pihak saya atas teguran YB Menteri Fahmi Fadzil selaku jurucakap kerajaan dan ketua penerangan Parti Keadilan," katanya.

Ulasan