Pengampunan Najib: Kritikan dan sindiran DAP agak janggal

Pengampunan Najib: Kritikan dan sindiran DAP agak janggal
February 3, 2024


KUALA LUMPUR: Dalam negara demokrasi seperti Malaysia, walaupun kuasa prerogatif tertentu terkandung dalam undang-undang tertinggi negara, namun ulasan dan komen serta kritik dari rakyat tidak dapat dielakkan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir berkata, ia selagi mana suara rakyat itu tidak bertentangan mana-mana undang-undang yang ada, maka mereka berhak memberikan pandangan.

Beliau mengulas reaksi pelbagai pihak terhadap keputusan Lembaga Pengampunan terhadap rayuan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dari kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Roslan Shahir

Kupasnya, peruntukan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan Malaysia itu bahkan pernah memberikan pengampunan kepada kenamaan lain antaranyaAllahyarham Datuk Harun Idris dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Tetapi bidasnya, agak janggal apabila kritikkan dan sindiran terhadap keputusan ini datang dari kawan sendiri yang dirujuknya kepada DAP, sedangkan parti itu kini bersama Umno dalam Kerajaan Pusat.

“Pasca PRU15, Presiden Umno hari ini memutuskan menolak kawan lama dan berpelukan dengan kawan-kawan baru. Antaranya termasuklah PKR dan DAP yang sebelum ini memang musuh tegar Umno zaman berzaman.

“Rupanya walau hari ini kawan dan duduk dalam kerajaan yang sama, DAP, parti paling dominan dalam kerajaan (40 kerusi) tidak sembunyikan ketidakpuasan hati mereka terhadap Umno dan sanggup luahkannya secara terbuka.

“Sebelum ini kita ada lihat klip video Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menghina Dato’ Sri Najib. Terbaru, selepas keputusan pengampunan diketahui, bekas pemimpin DAP, Tony Pua pula tidak henti-henti mengkritik pemimpin yang disayangi ramai dalam Umno itu.

“Lim Kit Siang pun pernah nyatakan bahawa pengampunan terhadap Najib boleh runtuhkan Kerajaan Anwar. Tony persenda dan perlekeh keputusan ini. Ahli-ahli Umno perlu sedar apa jenis kawan yang tidur sebantal dengan mereka ini.

“DAP sesungguhnya tak perlukan Umno pun kerana selama ini Umnolah sasaran mereka. Cuma kerana Anwar dan (Dato’ Seri Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) pilih untuk berkawan atas agenda masing-masing maka DAP melangkah ikut serta.

“Cuma kebencian terhadap Umno, MCA dan MIC tidak pernah mereka sembunyikan. Inilah kawan yang PAS sering peringatkan Umno. Hubaya-hubaya sahabat,” peringat beliau. – HARAKAHDAILY 3/2/2024

Ulasan