Penjara sesak, 70.4 peratus tahanan terbabit kes dadah

sebanyak 75,379 tahanan atas pelbagai kesalahan berada di penjara seluruh negara, sekali gus melebihi kapasiti rasmi kemudahan di seluruh negara, iaitu hanya 69,816 banduan

Penjara sesak, 70.4 peratus tahanan terbabit kes dadah
Oleh Noor Atiqah Sulaiman - Februari 21, 2024 @ 8:20pm
KUALA LUMPUR: Beberapa penjara di negara ini semakin sesak, terutama selepas menerima jumlah tahanan berkait dengan penyalahgunaan dadah.

Hingga September tahun lalu, sebanyak 75,379 tahanan atas pelbagai kesalahan berada di penjara seluruh negara, sekali gus melebihi kapasiti rasmi kemudahan di seluruh negara, iaitu hanya 69,816 banduan.

Daripada jumlah keseluruhan banduan dalam penjara itu, paling tinggi, iaitu 70.4 peratus atau 53,072 adalah mereka yang disabitkan kesalahan dadah, diikuti kesalahan bukan berkaitan dadah, iaitu 22,307 individu (29.6 peratus).

Kesesakan paling tinggi dilaporkan di dua institusi penjara di Kelantan, iaitu Pengkalan Chepa dengan kapasiti melebihi 129.67 peratus serta Machang (29.68 peratus).

DISYORKAN UNTUK ANDA










Ia diikuti di Marang, Terengganu yang melebihi 105.8 peratus, Penor di Pahang (79.32 peratus) dan Jelebu, Negeri Sembilan (67.75 peratus).

Teliti semula undang-undang berkait kes dadah

Justeru, bagi mengurangkan kesesakan itu, Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman meminta supaya undang-undang berkait penggunaan dadah di negara ini diteliti semula.

Katanya, undang-undang itu termasuk memasukkan seseorang itu ke dalam penjara disebabkan oleh kesalahan mengambil dadah.

"Tindakan undang-undang yang digunakan itu juga ada kalanya memerlukan kerajaan mengeluarkan kos yang tinggi, namun ia masih tidak mampu menyelesaikan isu penyalahgunaan dadah di negara ini.

"Kita perlu fikir bagaimana untuk mengurus penyalahgunaan dadah di negara ini. Bukan semuanya pesalah dadah perlu dimasukkan ke dalam penjara, ada kalanya mereka hanya memerlukan rawatan.

"Untuk mereka yang tidak perlukan rawatan, kita beri mereka sokongan untuk pulih. Kenapa kita kata yang masukkan pesalah ini dalam penjara tidak lagi berkesan, kerana kajian mendapati kebanyakan dipenjarakan ini akan kembali bergelumang dalam dadah," katanya.

Kenapa terus buat perkara tak berkesan

Beliau mempersoalkan mengapa kerajaan perlu melakukan sesuatu perkara tidak berkesan kepada masyarakat.

"Jika dipenjarakan, mereka akan menyesakkan lagi bangunan itu seterusnya menyebarkan lebih banyak penyakit. Menggunakan banyak kos untuk mengendalikan ribuan kes setiap hari di mahkamah.

"Kita perlu lakukan ini (program rawatan) kerana masyarakat kini lebih terbuka dan memahami kenapa seseorang itu mengambil dadah, apa akibat daripada perbuatan itu (salah guna dadah) dan bagaimana untuk merawatnya," katanya.

Ulasan