Ringgit susut: Rafizi digesa segera bertanggungjawab
February 23, 2024
KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli harus bertanggungjawab berkaitan penyusutan nilai Ringgit yang sudah mencecah RM4.80 berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD).
Profesional Istiqamah dalam kenyataannya berkata, Rafizi adalah individu yang tidak asing bagi rakyat Malaysia, terkenal sebagai raja formula.
“Rafizi yang menjadi figura hadapan kepada Pakatan Rakyat suatu ketika dulu begitu lantang memperjuangkan nasib rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup dan penyelewengan kerajaan terdahulu.
“Perjuangan yang tampak benar dan suci itu tidak kekal lama kerana realiti menguruskan ekonomi dan pentadbiran tidak semudah mengungkap kata di bibir,” ujar kenyataan tersebut hari ini.
Imbas mereka, sedekad lalu, sewaktu Amerika Syarikat mengalami krisis ekonomi yang turut mengheret dunia terjebak ke krisis serupa .
“Kemelesetan ekonomi dunia ketika itu turut memberi tempias hebat kepada Malaysia. Nilai Ringgit, pelaburan, kuasa beli, kos sara hidup, peluang pekerjaan, harga barangan naik dan segenap perkara yang berkaitan ekonomi terjejas.
“Rafizi Ramli yang dijoloki raja formula banyak mengeluarkan kaedah penyelesaian kepada permasalahan berbangkit; Kerajaan ada kuasa untuk menggubal dasar dan mengawal harga barang.
“Najib turun, Ringgit naik; Formula turunkan harga kereta; Formula harga minyak RM1.50 Seliter. Ini sebahagian kecil formula yang dikeluarkan oleh Rafizi Ramli suatu masa dahulu,” tambah kenyataan mereka.
Ujar mereka, formula yang dahulu diulang-ulang tidak lagi menjadi ratiban Rafizi selepas dia menjadi Menteri Ekonomi Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Segala formula dan perjuangan Rafizi tambah mereka, sudah dibakul sampahkan dengan mencipta berbagai alasan berlapik istilah-istilah jargon.
“Malaysia sudah beberapa kali dilanda kemelesetan ekonomi dan ditangani dengan pantas dan bijaksana oleh pemimpin terdahulu.
“Kesilapan Anwar Ibrahim yang menuruti cadangan dan nasihat International Monetory Fund (IMF) sewaktu mengendalikan krisis ekonomi 1997 patut diambil pengajaran.
“Langkah Tun Mahathir memanfaatkan ‘kearifan tempatan’ dalam menangani krisis ini wajar dijadikan tauladan,” kata mereka.
Zaman kepimpinan Perdana Menteri ke-6, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak juga mengalami kemelesetan ekonomi yang dahsyat.
“Langkah Perdana Menteri ke-6, yang melaksanakan transformasi secara komprehensif dengan melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan( GTP).
“Program transformasi yang menangani kenaikan hutang negara pada waktu itu berbaloi kerana Malaysia bukan sahaja dapat keluar dari kemelut ekonomi dunia malah hasilnya dapat dituai sehingga sekarang,” ujar mereka.
Menurut mereka, dua pengalaman negara menangani krisis ekonomi yang dibangkitkan di atas sebagai bukti pegangan mazhab ekonomi keynessian dan ketidakbergantungan kepada pihak Barat lagi berkesan dalam menangani krisis ekonomi Malaysia.
“Kemerosotan nilai Ringgit dan nilai eksport yang menurun menunjukkan ekonomi Malaysia makin melemah. Rakyat sudah bertahun mengeluh dengan kos sara hidup yang mencanak naik, namun tidak dipedulikan oleh Kerajaan PH-BN.
“Sebaliknya memperkenalkan dasar-dasar yang menggandakan lagi penderitaan rakyat,” ujar mereka.
Menurut laporan media tempatan, Rafizi masih belum memberikan respon berkaitan perkara ini berikutan masalah kesihatan.
“Kita doakan Rafizi Ramli diberi kesembuhan dan dalam waktu yang sama mencari solusi untuk krisis ini. Demi kebaikan rakyat dan negara, Kerajaan PH-BN patut meninggalkan pegangan ekonomi neoliberal dan nasihat dari Barat.
“Rendahkan ego dan rujuk kepimpinan lama yang sudah berpengalaman dalam berhadapan krisis,” harap mereka. – HARAKAHDAILY 23/2/2024
Ulasan
Catat Ulasan