Serangan di Rafah bakal burukkan lagi isu kemanusiaan



Serangan di Rafah bakal burukkan lagi isu kemanusiaan
February 13, 2024

RAFAH: Kem pelarian yang menjadi penempatan perlindungan sementara pelarian Palestin akibat serangan berterusan tentera Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza kini turut terancam oleh tindakan rejim tersebut.

Kawasan yang sebelum ini menampung sekitar 250,000 orang, kini didatangi 1.4 juta pelarian dari seluruh Gaza dengan berteduh menghuni di khemah daif serta kemudahan serba kurang selain akses terhad kepada air minuman dan makanan.

Dalam keadaan bersesak-sesak dan padat manusia di situ hinggakan kemanusiaan mereka diancam oleh kemungkinan kebuluran dan wabak penyakit, kini mereka diancam keganasan menggila rejim Zionis-Israel yang mungkin menyerang.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan ikrarnya untuk melanjutkan operasi ketenteraan darat ke bandar Gaza hingga jauh di selatan dipercayai hingga ke Rafah di sempadan Mesir yang menjadi tempat perlindungan terakhir tersebut.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden sendiri memberi amaran bahawa kempen balas dendam Israel di Gaza yakni operasi di Rafah sebagai tidak boleh diteruskan tanpa pelan yang boleh dipercayai untuk memastikan keselamatan orang awam.

Serangan dan pengeboman tanpa henti oleh pihak rejim sejak perang 7 Oktober tahun lalu itu telah membunuh sekurang-kurangnya 28,176 orang awam yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, setakat semalam, lapor Al-Jazeera.

Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Türk, dalam laporan BBC pula telah memberi amaran bahawa serangan ke atas Rafah akan sangat mengerikan, memandangkan prospek bilangan orang awam yang sangat tinggi.

Katanya, sekali lagi kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, mungkin akan terbunuh dan cedera serta bermakna bantuan kemanusiaan yang ‘sedikit’ masuk ke Gaza juga mungkin terhenti kerana kebanyakan penghantaran melalui lintasan sempadan Rafah.

“Saya tinggal di sini dengan 20 orang dalam dua bilik… dan saya tahu orang yang terdiri daripada 100 orang dalam tiga bilik.

“Kami tidak mempunyai air untuk dibasuh, kami tidak mempunyai pakaian, kami tidak mempunyai pilihan untuk melakukan perkara kebersihan.

“Rakan-rakan saya, semua orang yang saya temui… semuanya mengalami sekurang-kurangnya selesema, taun, cirit-birit, kudis, hepatitis A dan ia semakin teruk dan lebih teruk.

“Bantuan semakin berkurangan kerana kepungan semakin meningkat, perang semakin meningkat, (askar Israel) semakin hampir dengan Rafah, dan ia berasa sangat menakutkan sekarang,” dedah seorang doktor di Rafah yang enggan namanya disiarkan.

Sementara AFP melaporkan bahawa pejuang Hamas telah memberi amaran kepada kepada pihak Israel bahawa serangan darat di Rafah akan menjejaskan rundingan mengenai gencatan senjata dan pertukaran tawanan.

“Sebarang serangan oleh tentera pendudukan ke atas bandar Rafah akan menjejaskan rundingan pertukaran,” kata seorang pemimpin Hamas yang dirahsiakan namanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2024

Ulasan