Setiap tiga bulan harga barang naik





Setiap tiga bulan harga barang naik
February 2, 2024

MELAKA: Harga borong kebanyakan barangan runcit termasuk produk seperti makanan ringan, kordial dan lain-lain naik hampir setiap tiga bulan.

Seorang pengusaha pasar mini, Abdul Hakim Arjunaidi, 32, berkata, perkara itu kerap berlaku hampir setiap kali beliau membuat pesanan baharu bagi stok jualan di rangkaian pasar mininya.

“Biasanya pembekal akan mula dengan tidak memberi stok percuma yang biasa diberi apabila kita beli dengan banyak.

“Selepas itu mereka naikkan harga pada pembelian seterusnya. Itu situasi yang biasa berlaku,” katanya kepada HarakahDaily.

Dia turut mengakui bahawa harga bawang India memang naik seperti yang tular dalam kalangan orang ramai.
Abdul Hakim Arjunaidi

“Sebelum ini, sekitar hujung tahun 2023 kita boleh jual dalam RM8 ke RM9 sekilogram. Sekarang ini sudah jadi RM12.

“Apa yang saya difahamkan dekat India berlaku banjir jadi mungkin stok berkurangan, jadi harga naik,” ujarnya yang menguruskan enam buah cawangan pasar mini milik keluarga.

Berkaitan dengan isu beras, beliau turut mendedahkan bahawa semenjak berlaku krisis beras pihaknya langsung tidak pernah menerima stok beras tempatan.

“Kami cuma terima beras import sahaja. Tiada langsung beras tempatan. Bila kita tanya pembekal, mereka kata beras tempatan mereka reserve untuk program-program kerajaan seperti Jualan Rahmah. Jadi kami hanya jual beras import,” kongsi Abdul Hakim.

Mengulas tentang isu gula pasir yang dikatakan ‘memaksa’ pelanggan membeli bersama-sama gula pasir premium, beliau menjelaskan ia adalah polisi pemborong pada masa kini.Pengusaha pasar mini akui pelanggan cukup terbeban dengan situasi kenaikan harga barang sekarang ini.

“Bila kami beli stok gula pasir, kami kena beli sekali dengan yang premium pada nisbah tertentu. Contohnya, lapan unit gula pasir bersubsidi kami kena beli sekali dua unit gula pasir premium.

“Sebab itu, kebanyakan kedai pun menjual pada pelanggan dengan syarat membeli sekali gula premium,” jelas beliau.

Beliau turut mengakui bahawa situasi yang berlaku itu memang banyak memberi kesan pada perniagaannya dengan berlaku penyusutan dalam jualan berbanding sebelum ini.

“Kita pun kasihan tengok pelanggan. Antara mereka ini golongan susah. Memang terbeban dengan situasi kenaikan harga barangan sekarang. Tapi apa boleh buat. Bila harga datang naik, kami terpaksa naikkan harga jualan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/2/2024

Ulasan