Sudah tiba masa Mahkamah Syariah diperkasa

Sudah tiba masa Mahkamah Syariah diperkasa
February 13, 2024


Tuan Guru Hashim Jasin


ARAU: “Sudah tiba masa Mahkamah Syariah diperkasa”

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, PAS sudah lama berjuang ke arah memperkuatkan Mahkamah Syariah dan usaha ini memerlukan komitmen semua Ahli Parlimen Islam tanpa mengira fahaman politik.

“PAS sejak dahulu sentiasa konsisten berusaha memperkasakan Mahkamah Syariah dan berharap ahli Parlimen Islam lain turut bersama tanpa mengira fahaman politik.

“Undang-undang syariah tidak terpakai kepada bukan Islam dan beri kuasa kepada negeri menggubal undang-undang berkenaan tanpa bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya.

Terdahuku, keputusan terbaharu Mahkamah Persekutuan pada Jumaat (9 Feb) yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 telah menimbulkan kebimbangan terhadap sistem perundangan Persekutuan dan negeri.

Krisis perundangan itu tercetus selepas pempetisyen, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul, 26, yang berjaya dalam petisyen mereka mendapatkan pembatalan undang-undang berkenaan daripada mahkamah tertinggi negara.

Mengulas lanjut, ujar Hashim, percanggahan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah dengan pusat perlu diperbaiki dan diperbetulkan.

“Ia menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam khususnya ahli Parlimen yang boleh memainkan peranan ke arah meminda Perlembagaan ini.

“Saya percaya, ahli Parlimen Islam di Dewan Rakyat ketika ini mempunyai suara yang kuat atau majoriti lebih dua pertiga untuk meminda perlembagaan agar negeri diberi kuasa mengubal undang-undang syariah yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan,” tegasnya.

Tambah beliau, pindaan Perlembagaan Persekutuan itu cukup penting bagi melindungi kedaulatan undang-undang syariah di negara ini.

“Jika tidak, apa yang berlaku di Kelantan akan turut memberi kesan negatif kepada sistem perundangan syariah di negeri-negeri lain jika ada pihak terus mencabar.

“Mahkamah Persekutuan telah memutuskan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan kita tidak mempertikaikannya mengikut undang-undang dalam Perlembagaan.

“Namun apa yang lebih penting, kita perlu berusaha memperbetul dan memperbaiki keadaan agar mahkamah syariah terus diperkasa dan tidak berlaku lagi sebarang percanggahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2024

Ulasan