Tiada usaha kerajaan selamatkan peminjam dari hutang

Tiada usaha kerajaan selamatkan peminjam dari hutang
February 5, 2024

Penurunan nilai mata wang negara yang semakin mendadak pada masa ini menyebabkan hanya segelintir sahaja kehidupan rakyat biasa yang bebas daripada cengkaman hutang. (FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR: Masih tidak ada usaha kerajaan untuk menyelamatkan (bail out) peminjam daripada hutang.

Pakar ekonomi bebas Dato’ Dr Ramalan Yunus berkat, terdapat ramai dalam kalangan rakyat biasa menghadapi kehidupan yang semakin tersepit, lebih-lebih lagi setelah berlakunya penurunan nilai mata wang secara mendadak sehingga menyebabkan 1 Dolar AS bersamaan RM4.76.

Menurut beliau, sehingga ke hari ini mata wang Malaysia tidak pernah kembali kepada nilai asal iaitu sebelum krisis ekonomi pada tahun 1998 yang mana 1 Dolar AS bersamaan RM2.50.

“Ini yang menyebabkan harga rumah dan kos sara hidup semakin meningkat serta ramai rakyat kita pada hari ini telah menjadi hamba kepada pelbagai hutang tetapi tiada satu pun kerajaan yang pernah berusaha membantu mereka,” katanya.

Kerajaan Madani tambah hutang negara

Beliau juga mengkritik tindakan kerajaan Madani ketika ini kerana menambah lagi hutang negara sedia ada sehingga melebihi RM1 trilion dan mempunyai bajet defisit yang berlebihan.

Kata beliau, perkara sebegini adalah tidak wajar kerana seharusnya kerajaan menjadi contoh yang baik kepada setiap rakyat dan bukannya sebaliknya.Ramalan Yunus

“Pilihlah mana-mana kerajaan untuk mentadbir pun tetapi masih tambah lagi hutang negara maka usaha untuk bail out ramai rakyat biasa hanyalah mimpi semata-mata,” katanya.

Tambah beliau, dengan penurunan nilai mata wang yang semakin mendadak pada masa ini menyebabkan hanya segelintir sahaja kehidupan rakyat biasa yang bebas daripada apa pun cengkaman hutang.

Ini kerana kata beliau, masalah tersebut telah menyumbang lagi kepada kenaikan kos sara hidup yang sedia ada seperti kenaikan harga barang asas dan seumpamanya.

“Saya telah banyak kali menyatakan sistem kewangan sendiri yang mengawal mana-mana kerajaan dan bukannya sebaliknya kerana bukti yang amat kukuh ialah apabila mana-mana bank mula menghadapi muflis cepat-cepat kerajaan akan bail out golongan ini,

“Namun, apabila golongan peminjam dalam kalangan rakyat biasa pula yang tidak mampu membayar semula hutang-hutang mereka tiada satu pun kerajaan yang ingin bail out mereka,” ujarnya.

Beliau menyatakan perkara tersebut adalah sangat tidak adil seolah-olah rakyat biasa terpaksa mengemis di bumi sendiri manakala golongan-golongan bank pula menikmati kemewahan yang berlebihan.

Promosi wang percuma

Beliau juga tertarik dengan kata-kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dato’ Nadzim Johan mengenai promosi wang percuma yang dilakukan oleh mana-mana institusi kewangan yang tersiar dalam HarakahDaily minggu lepas bertarikh 30 Jan 2024.

Perkara sebegini, menurut beliau lagi, semakin meluas berlaku pada hari ini yang memburukkan lagi keadaan ekonomi negara ini yang mana sekiranya semakin ramai rakyat biasa dibelenggu dengan pelbagai hutang maka masalah sebegini berpotensi untuk memusnahkan satu ekonomi negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk tidak lagi berpolitik semata-mata kerana kehidupan ekonomi rakyat pada masa ini telah pun semakin tersepit dari semasa ke semasa.

Tambah beliau, sekiranya masalah sebegini masih tidak dibetulkan maka akan menyebabkan kemiskinan yang berlebihan yang menyebabkan ramai rakyat mula hilang keimanan kepada Allah S.W.T. itu sendiri.

“Kita harus faham bahawa kemajuan ekonomi negara yang sebenar ialah ramai rakyat negara ini hidup dengan harmoni tanpa dibelenggu dengan apa pun hutang dan bukannya sekadar mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi semata-mata,

“Kita sendiri boleh lihat sekarang bahawa apa yang berlaku ialah sebaliknya yang mana jelas ekonomi ini berasaskan riba dan sekiranya masih ada pihak yang ingin menafikan maka jawab di hadapan Allah S.W.T. di akhirat nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2024

Ulasan