Ubi keledek PASTI

Ubi keledek PASTI
February 8, 2024

KETIKA Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Cawangan Bukit Tanah, Jabi diasaskan kira-kira 35 tahun yang lalu atau lebih tepatnya pada tahun 1985, saya berada di darjah 5 Sekolah Kebangsaan Tembila, Besut. Memang saya bukan anak PASTI dan bukan juga anak tadika sebab saya tidak pernah melalui peringkat pendidikan prasekolah. Terus masuk darjah satu.

Buat permulaannya, PASTI Cawangan Bukit Tanah beroperasi di satu sudut dari binaan surau kayu yang juga merangkap Markas PAS Cawangan Bukit Tanah. Pelajarnya ada beberapa belas orang. Duduk belajar sambil bersila sebelum ada kerusi. Cikgu masak guna dapur minyak. Elaun guru saya tidak pasti berapa yang mampu dibayar. Rasanya sekitar tidak melebihi RM100.

Yuran pelajar PASTI hanya RM5 sebulan. Itu pun ramai ibu bapa yang tidak mampu bayar. Tentunya dengan yuran hanya RM5 yang dikutip dari pelajar berjumlah beberapa belas orang, tiada apa yang mampu diharapkan dari sumber yuran untuk menampung perjalanan PASTI sama ada alatan belajar, makan minum serta elaun guru.

Masih saya ingat bagaimana ibu bapa dan ahli jawatankuasa PAS cawangan berpakat untuk secara bergilir-gilir bawa makanan semasa persekolahan anak-anak pelajar PASTI. Ada yang bawa nasi goreng, mihun goreng, roti cicah air teh O, mi goreng dan macam-macam lagi berdasarkan kemampuan. Yang penting anak-anak ada sesuatu untuk mengalas perut ketika rehat.

Zaman 80-an, kehidupan orang kampung memang susah. Ketika itu kebergantungan utama pendapatan adalah tanaman tembakau. Selepas musim tembakau, orang kampung tanam sayur dan ubi stelo (ubi keledek). Begitulah juga kedua ibu bapa saya. Harga ubi stelo hanya sekitar 20 sen hingga 30 sen sekilogram. Jual 100 kg ubi stelo baru dapat RM30.

PASTI Cawangan Bukit Tanah walau dalam kedaifan tetap meneruskan persekolahan seperti biasa. Guru-guru mengajar dengan penuh keikhlasan dan ketabahan walau imbuhan yang diterima sama sekali tidak munasabah. Ketika kedudukan kewangan PASTI hampir kosong, hendak minta derma dari ahli PAS cawangan, mereka pun tidak ada duit.

Masih segar di ingatan, saya duduk bersila di tepi dinding papan markas PAS cawangan sambil dengar orang-orang tua bermesyuarat hendak cari sumber kewangan. Ayahanda ialah Bendahari PAS Cawangan. Bincang punya bincang, akhirnya keputusan diambil untuk mengusahakan sebidang tanah seluas kira-kira satu ekar milik ayahanda dengan tanaman ubi stelo.

Pada hari yang ditetapkan, orang kampung ahli PAS cawangan pakat keluar dengan senjata cangkul. Buat batas dan tanam ubi. Sampai masa bubuh baja juga dengan gotong-royong. Akhirnya tanam ubi, maka akan berisi. Tibalah hari pesta gali ubi. Masa itu gali ubi cuma guna tangan sahaja. Rezeki dari Allah, ubi stelo PASTI cukup berisi. Hasil jualannya dapat menampung beberapa bulan perbelanjaan PASTI. Modal gotong-royong hanyalah bubur kacang dan tulang empat kerat sahaja.

Ada suatu masa, mesyuarat PAS cawangan pernah buat keputusan untuk ahli menyumbang ayam kampung kepada PASTI. Bukan sumbang untuk sembelih buat gulai. Tapi tangkap ayam kampung yang berkeliaran bawah rumah dan bawa ke markas PAS cawangan. Ada peraih ayam kampung dengan motor Honda Cub ada raga rotan di belakang yang masuk kampung beli ayam. Hasil jualan ayam kampung dimasukkan dalam tabung PASTI.

Malah pernah orang kampung pakat kumpul buah kelapa untuk diberi kepada PASTI. Kelapa dijual lalu hasilnya masuk tabung PASTI. Pendek kata dengan segala daya dan upaya ahli PAS cawangan telah berusaha untuk memastikan kesinambungan persekolahan tidak tergendala. Mereka tidak ada wang tetapi mereka ada tenaga, semangat, kesungguhan dan cita-cita perjuangan tanpa batas sempadan ditunjangkan dengan keikhlasan dan kesabaran.

Walau berdepan dengan pelbagai kesukaran, PASTI Cawangan Bukit Tanah yang sekarang ini dikenali dengan nama PASTI As Syakirin telah memasuki usia ambang 35 tahun. Terus mendidik dan mendidik. Pelajarnya setiap tahun mencecah lebih 60 orang. Malah ada orang Umno yang menghantar anak untuk mendapat pendidikan PASTI. Bukan mereka tidak tahu bahawa PASTI ialah institusi pendidikan PAS. Tetapi mereka tetap hantar kerana kualiti yang dimiliki PASTI. Bilangan pelajar PASTI As Syakirin jauh lebih ramai dari Tadika Kemas. Bayangkan dalam tempoh kira-kira 35 tahun, betapa banyaknya PASTI As Syakirin telah menabur jasa walau ia tidak pernah meminta ucapan terima kasih.

Bila diingat kembali kesukaran lalu, tanpa disedari air jernih menitis di pipi. Betapa orang tua kita meletakkan asas perjuangan ini dengan segala susah payah, tenaga, pengorbanan dan air mata. Mereka tak berpendidikan tinggi, tetapi mereka mempunyai kebijaksanaan dan kesabaran dalam mengatur langkah demi langkah perjuangan. Tanam ubi stelo untuk perjuangan jauh lebih mulia dari sekadar bertanam tebu di tepi bibir. – HARAKAHDAILY 8/2/2024

Penulis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Ulasan