10 lokasi paling sesak di ibu negara





10 lokasi paling sesak di ibu negara
RIBUAN kenderaan terperangkap dalam kesesakan jalan raya selepas Tol Sungai Besi di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Oleh FITRI NIZAM
5 Mac 2024, 7:27 am


PETALING JAYA: Jalan Sungai Besi dan Jalan Kuching menjadi antara 10 lokasi di ibu negara yang mengalami kesesakan trafik paling kritikal dengan kadar kelewatan antara 178 minit sehingga 352 minit sehari.

Kesesakan trafik itu disebabkan pelbagai faktor termasuk aliran kenderaan terlampau tinggi pada satu-satu masa.

Lokasi dan kadar kelewatan tertinggi yang dikenal pasti itu ialah di Jalan Sungai Besi dengan kadar kelewatan mencapai 352 minit, Jalan Kuching (288 minit), Jalan Sultan Azlan Shah (234 minit), Jalan Klang Lama (224 minit), Jalan Kuchai (224 minit), Lebuhraya DUKE (216 minit), Lebuhraya E37 Salak (208 minit), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (208 minit), Jalan Cheras (208 minit) dan Jalan Travers serta Jalan Damansara (178 minit).

Kadar kelewatan tersebut diperoleh hasil kajian Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan menggunakan Sistem Pendeteksian Insiden Jalan Automatik (ARIDS) yang dibangunkannya sendiri.

Ia antara lain melakukan pengamatan selama 15 jam di jalan raya bagi mendapatkan keputusan kadar kelewatan selain membantu pengkaji mengenal pasti punca kesesakan yang berlaku di laluan tersebut.

Pakar Keselamatan Jalan Ra­ya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, hasil kajian pihaknya tahun lalu mendapati, beberapa punca menyebabkan 10 lokasi tersebut mengalami kesesakan luar biasa.


Katanya, punca utama adalah disebabkan jumlah pengguna jalan raya yang terlampau tinggi pada satu-satu masa melalui jalan tersebut khususnya pada hari bekerja.

“Kepadatan penduduk di kawasan sekitar laluan tersebut memberi kesan kepada peningkatan kenderaan yang melalui sesebuah jalan raya mengakibatkan kesesakan trafik terutama pada waktu puncak sehingga sepanjang hari pada keadaan tertentu.

“Kehadiran jumlah kenderaan besar mengakibatkan kelajuan yang lebih perlahan sekali gus menyumbang kepada kadar kelewatan pada pengguna jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan bahawa warga kota mem­­bazirkan kira-kira RM6.8 bilion bagi mengisi petrol akibat terpe­rangkap dalam ke­se­sakan jalan raya ketika berulang-alik ke tempat kerja selama 580 jam setahun.

Jumlah itu diperoleh berda­sar­kan anggaran purata ke­se­sa­kan lalu lintas dihadapi kira-kira 2.2 juta pemilik kende­raan dari Lembah Klang yang memasuki ibu negara semasa waktu puncak, iaitu dari pukul 6 pagi hingga pukul 9 pagi dan terpaksa menghabiskan masa selama 135 minit atau dua jam 15 minit di atas jalan raya.

Berdasarkan kajian, secara umumnya, kenderaan yang ti­dak bergerak dalam kesesakan jalan raya akan menggunakan 2.6 liter minyak setiap sejam.

Mengulas lanjut, Teik Hua berkata, kapasiti jalan raya yang terhad juga menyumbang kepada kadar kelewatan dihadapi pengguna disebabkan banyak lalu tidak mempunyai kapasiti secukupnya untuk menampung peningkatan jumlah kenderaan setiap tahun.

Menurutnya, ketika kawasan bandar berkembang dengan kepadatan penduduk meningkat, infrastruktur sedia ada mengalami kesukaran untuk menangani aliran trafik menyebabkan penyempitan jalan sehingga berlakunya kesesakan.

“Pada masa sama, ketidakhadiran pengurusan trafik yang efisien merupakan satu faktor utama yang menyumbang kepada kesesakan trafik di bandar. Contohnya, dalam keadaan ketika lebih daripada 90 peratus kenderaan yang memasuki bandar hanya mempunyai pemandu tanpa penumpang.

“Ia menunjukkan penggunaan kenderaan yang tidak efisien. Kenderaan berlebihan di jalan raya meningkatkan risiko kesesakan, terutamanya ketika waktu puncak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, ketiadaan pemisahan yang jelas antara motosikal dan kenderaan juga menyebabkan interaksi yang tidak cekap di antara kedua-dua jenis pengangkutan tersebut.

“Motosikal yang mencelah di antara barisan kereta atau terlalu rapat di belakang kenderaan lain boleh mengganggu aliran trafik secara keseluruhan. Ini boleh menyebabkan pemandu kenderaan terpaksa membrek secara mendadak sekali gus melambatkan aliran trafik dan menimbulkan risiko kemalangan,” katanya.

Terakhir, Teik Hua berkata, antara punca lain yang menyumbang kepada kesesakan jalan raya tersebut adalah penggabungan dan akses yang tidak sepatutnya sepanjang laluan termasuk penyelarasan trafik yang lemah.

“Penggabungan dan akses yang tidak perlu merujuk kepada situasi di mana terlalu banyak persimpangan digabungkan atau pintu masuk dan keluar di sepanjang jalan. Ini boleh mengganggu aliran trafik dengan menyebabkan pergerakan kenderaan terhenti atau perubahan mendadak pada kelajuan,” katanya.

Ulasan