18,433 wanita derita keganasan rumah tangga


18,433 wanita derita keganasan rumah tangga

Oleh ARIF AIMAN ASROL dan CATHERINE IRENE MILTON
4 Mac 2024, 7:45 am

KUALA LUMPUR: Sebanyak 18,433 wanita di negara ini menderita akibat menjadi mangsa keganasan rumah tangga dalam tempoh empat tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, mengikut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 3,616 kes keganasan rumah tangga dalam kalangan wanita direkodkan pada 2020 diikuti 2021 (5,131 kes), 2022 (4,762 kes) dan 2023 (4,924 kes).

“Punca kes didapati berubah pada setiap tahun iaitu disebabkan perselisihan faham dengan sebanyak 2,412 kes pada 2020 manakala tahun 2021 dan 2022 pula berpunca daripada masalah dadah yang masing-masing merekodkan 1,747 kes serta 1,640 kes,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Bangunan Parlimen Malaysia, di sini baru-baru ini.

Bagi tahun lalu pula katanya, punca utama berlaku adalah disebabkan panas baran iaitu 1,406 daripada 4,924 kes keganasan rumah tangga.

Beliau berkata, kementeriannya cuba menyelami dan merungkai penyebab punca-punca yang membawa kepada keganasan rumah tangga itu terjadi.
Jelas beliau, kementerian mengambil beberapa langkah untuk menangani permasalahan rumah tangga termasuk juga isu perceraian, iaitu antaranya enubuhan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).

“Kementerian pergi lebih dalam iaitu sebagai contoh mengapa dia ambil dadah. Kita akan tanya lebih lanjut dan terperinci melalui sesi kaunseling kerana ingin pastikan tidak berlakunya penceraian.


“Jika mengikut laporan daripada pihak polis, sebanyak 429 dan 216 kes pasangan dalam proses penceraian direkodkan sejak dua tahun kebelakangan ini iaitu bermula dari tahun 2022 sehingga 2023.

“Di pihak kementerian, kami melihat dari sudut untuk cuba menyatukan keluarga semula jadi kami bukan sahaja berbincang dengan pengadu tetapi turut pergi ke yang diadu iaitu dalam kes ini si suami,”ujarnya.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, dengan kewujudan PSSS itu, maka dijadikan sebagai rujukan dan perkhidmatan bimbingan kaunseling terutamanya kumpulan sasaran kementeriannya iaitu golongan wanita dan keluarga yang bermasalah.

“Kita ada kaunselor yang bertugas di PSSS, di situ kadang-kadang ia ‘pandai’ untuk balik semula, terfikir untuk merujuk semula. Polis adalah tempat untuk dia (mangsa) melapor sahaja tetapi kami memang rasa lebih baik mereka dapat dibantu untuk merujuk kembali.

“Kadang-kadang waktu kita panas (marah) cakap nak cerai dan sebagainya tetapi kita tidak mahu itu berlaku, kementerian ada acara tersendiri,” jelasnya.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, sehingga kini terdapat tujuh buah PSSS mudah alih di serata tempat yang mana antara terbaharu adalah di Rantau Panjang, Kelantan.

“Setakat ini, sebanyak 42,974 kes aduan diterima dari tujuh buah penubuhan PSSS sehingga bulan Disember 2023,” katanya.

Tambahnya, kementerian itu juga bekerjasama dengan agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi bersedia untuk memberi pusat perlindungan kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga terutamanya melibatkan kecederaan fizikal.

“Terdapat empat masjid di Kuala Lumpur manakala satu masjid Perlis dijadikan pusat transit sementara. Ada 12 lagi masjid dijadikan sebagai pusat aduan,” katanya.

Namun begitu, jelas Nancy, lokasi sebenar kedudukan masjid yang dijadikan sebagai tempat perlindungan tidak didedahkan secara umum bagi menjamin keselamatan mangsa.

Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa atau pengadu juga boleh memanfaatkan Talian Kasih iaitu 15999, di mana perkhidmatan itu beroperasi 24 jam setiap hari yang berfungsi untuk mengemukakan sebarang aduan mahupun permohonan.

“Jadi apabila pengadu telah mengemukakan masalah mereka melalui talian panas ini, pihak kami akan memberi arahan seterusnya, sama ada mereka memerlukan pusat perlindungan sementara di lokasi masjid yang dirahsiakan.

“Selain daripada itu juga, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh mengeluarkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO).

“Ini di mana autoriti yang dikeluarkan oleh pihak JKM adalah tindakan segera untuk menyelamatkan mangsa tanpa menunggu pihak polis,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, langkah-langkah yang dimaklumkan oleh beliau itu adalah seiring dengan Tribunal Anti Gangguan Seksual yang bertujuan menigkatkan kesedaran dan mencegah berlakunya gangguan seksual termasuk keganasan rumah tangga. – UTUSAN

Ulasan