19 MAC 2024 : TUJUH DEKAD PAS NEGERI JOHOR

 


TUJUH DEKAD PAS NEGERI JOHOR

1. Hari ini genaplah 70 tahun usia PAS Johor, satu tempoh yang sudah tentunya sangat panjang dengan tercatatnya sejarah yang banyak bagi mendewasakan sebuah parti yang bertapak di sebuah negeri yang menjadi tempat kelahiran sebuah Parti Pemerintah sejak merdeka. Namun ianya berjaya diruntuhkan dalam PRU Ke14 pada tahun 2018 sehingga ia tidak lagi dianggap sebagai negeri ‘kubu UMNO’ yang disegeruni seperti satu masa dahulu.

2. Walaupun PAS Johor ditubuhkan pada tahun 1954, gerakan penubuhan ini sebenarnya telah berputik pada tahun 1950 lagi apabila Muktamar Ulamak yang menghimpunkan alim ulama’ dari seluruh semenanjung Tanah Melayu dan Singapura telah ditubuhkan di Muar pada 20 Januari 1950 di Bangunan Kelab Muar, Johor yang kemudiannya dikenali sebagai Jabatan/Bahagian Ugama Islam UMNO yang menjadi salah satu sayap UMNO. Namun Jabatan/Bahagian Ugama Islam UMNO ini tidak kekal lama apabila dalam persidangan Ketiga yang diadakan di Seberang Prai Pulau Pinang, Jabatan/Bahagian Ugama Islam telah membuat keputusan untuk berpisah dengan UMNO dan menubuhkan Persatuan Ulama’ SeMalaya (PAS) yang dipimpin oleh Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan pada tahun 1951.

3. Berbeza dengan UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946; ianya bermula dengan Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan Perhimpunan Agung Pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) berlangsung di Istana Besar Johor Bahru dan Piagam Umno ditandatangani di Istana Besar Johor Baharu dan lahirlah UMNO secara rasmi.

4. Dengan cabaran ini, PAS tetap terus berkembang di Johor walaupun terus menghadapi kesukaran dan cabaran yang besar untuk terus melebarkan perjuangannya. Sebagai sebuah parti yang berasaskan agama dan dipimpin oleh golongan ulamak, perkembangan politik PAS di Johor bukanlah satu perjalanan yang dihamparkan dengan permaidani merah. Para pejuang terdahulu menghadapi ujian penuh berliku dan cabaran yang cukup perit.

5. Sejak ditubuhkan pada tahun 1954, PAS Johor telah dipimpin oleh seramai 10 orang Pesuruhjaya bermula dengan Haji Arifin Alias, Haji Hussin Besar, Hajah Khadijah Sidek, Haji Yusof Hakim, Dr Sanusi Daeng Mariok, Haji Hassan Hussein, Haji Omar Jani, Dato’ Dr Mahfodz Mohamad, Haji Aminolhuda Hassan dan Ustaz Abdullah Husin. Namun begitu, Haji Yusof Hakim, Dr Sanusi Daeng Mariok dan Dato’ Dr Mahfodz Mohamad telah dilantik sebanyak dua kali sebagai Pesuruhjaya PAS Johor.

6. Dr Sanusi Daeng Mariok, Haji Hassan Hussein, Dato’ Dr Mahfodz Mohamad, Haji Aminolhuda Hassan masih lagi dipanjangkan usia sehingga ke hari ini termasuklah Ustaz Abdullah Husin yang memimpin PAS Johor sejak tahun 2017.

7. Kehadiran PAS di Johor tidak dilihat sebagai ancaman kerana rakyat Johor masih belum mampu menerima kehadiran PAS. Umno dan Parti Perikatan adalah pilihan yang paling tepat dan sesuai dengan perkembangan politik di Johor pada ketika itu. Walaupun Dr Burhanuddin al-Helmy pernah dilantik sebagai Ahli Kehormat PAS Johor Bahru pada 23 April 1954 sebelum dipilih sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada tahun 1956, namun kehadiran tokoh politik hebat ini belum mampu menarik sokongan rakyat Johor untuk menerima PAS pada ketika itu.

8. Namun begitu, perkembangan tersebut tidak pun merencatkan dan mencantas semangat gelora perjuang-pejuang PAS yang kecil bilangannya jika dibandingkan dengan kekuatan yang dimilik oleh UMNO.

9. PAS Johor buat kali pertamanya menyertai Pilihan Raya Umum Persekutuan 1959 dengan meletakkan seramai tiga orang calonnya bertanding di peringkat parlimen Pontian Utara, Muar Selatan dan Segamat Utara. Seramai sembilan lagi calonnya diletakkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pontian Dalam, Benut, Rengit, Air Hitam, Tanjung Semberong, Parit Jawa, Parit Bakar, Serom dan Jorak.

10. Keputusan PRU ini memberikan gambaran terhadap penerimaan rakyat Johor terhadap PAS yang bukan sahaja gagal memenangi sebarang kerusi di Johor malah mendapat jumlah undi yang sangat rendah. Pada keseluruhannya, undi yang diperoleh oleh PAS bagi tiga kawasan parlimen yang ditandingi ialah 4,992 daripada jumlah keseluruhan iaitu 216,027 undi iaitu hanya 2.3% sahaja dari keseluruhan undi manakala PAS hanya berjaya mendapat undi sebanyak 5,471 daripada undi ke seluruh yang berjumlah 214,496 undi iaitu 2.6% sahaja dari keseluruhan undi.

11. PAS Johor tidak menyertai PRU yang bermula PRU yang Pertama sebanyak dua kali ; tahun 1955 dan tahun 1974. Kali Pertama (1955) adalah akibat daripada kedudukan kewangan yang tidak mengizinkan PAS menghantar walaupun seorang calon dan kali Kedua adalah pada tahun 1974 kerana pada masa itu, PAS berada di dalam gabungan Barisan Nasional. BN Johor tidak membenarkan PAS menghantar walaupun seorang calon kerana UMNO Johor tidak mengiktiraf kewujudan PAS di Johor yang menyebabkan beberapa pimpinan PAS Johor telah bertanding sebagai calon ‘bebas bersatu’ kerana tidak puas hati dengan keputusan yang telah dipersetujui di peringkat Pusat.

12. PAS hanya mula berjaya meletakkan seorang ADUN di DUN Johor pada tahun 2004 iaitu kerusi Dun Senggarang di atas kesilapan BN meletakkan individu yang diamanahkan sebagai Penyokong adalah merupakan bukan pengundi di Senggarang dan secara tidak langsung Dr Ramli bin Kari telah diisytiharkan sebagai Pemenang setelah pencalonan BN telah ditolak. Ia adalah merupakan sejarah penting untuk PAS Johor kerana berjaya melahirkan seorang ADUN dan kejayaan ini terus kekal sehingga ke hari ini apabila PAS tidak pernah gagal mempunyai wakil di DUN Johor sehingga PRN Ke15.

13. PAS memperoleh kejayaan yang luar biasa pada tahun 2008 apabila telah berjaya menang di kerusi N13 Sungai Abong dan N15 Maharani iaitu YB Dr Mohamad bin Taslim (Maharani) dan YB Dr Sheikh Ibrahim bin Sheikh Salleh (Sungai Abong).

14. Tahun 2013; PAS berjaya menang di empat kerusi DUN iaitu mengekalkan DUN Maharani dan DUN Sungai Abong, memenangi DUN Parit Yaani (Haji Aminolhuda Hassan) dan DUN Puteri Wangsa (Ustaz Abdullah bin Husin).

15. PAS telah menang di DUN Bukit Pasir (Haji Najib bin Lep) pada tahun 2018 dan kini di DUM Maharani apabila Cikgu Abdul Aziz bin Talib telah berjaya memenangi semula kerusi DUN Maharani pada tahun 2022.

16. Cukup panjang sejarah PAS Johor untuk dititipkan di sini namun cukuplah sekadar yang dituliskan untuk bacaan awal sebelum ianya dibukukan nanti kerana PAS Johor dijangka akan mengadakan Sambutan TUJUH DEKAD PAS JOHOR pada bulan Mei nanti, insya Allah. Saya sedang menyiapkan satu buku dokumen yang akan diterbitkan semasa sambutan tersebut, insya Allah. Jabatan Arkib PAS Pusat juga sedang mengumpulkan bahan-bahan sejarah untuk dipamerkan semasa Sambutan tersebut nanti.

SELAMAT ULANG TAHUN KE-70 PAS JOHOR

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Pengarah Jabatan Arkib PAS Pusat
19 Mac 2024

Kajian ringkas : Sejarah PAS di Johor dan perkembangannya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13

Ulasan