221 unit kuaters guru Taman Sri Serdang rosak




221 unit kuaters guru Taman Sri Serdang rosak
March 13, 2024

KUALA LUMPUR: Sebanyak 221 daripada 280 unit kuarters Taman Sri Serdang, Kepala Batas kosong yang rosak dan tidak dapat diduduki.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hanya 45 unit sahaja yang mempunyai penghuni manakala yang selebihnya 14 unit kuarters kosong yang boleh diduduki.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melantik perunding hartanah bagi tempoh Disember 2022 hingga 30 September 2023 untuk menjalankan kajian mengoptimumkan penggunaan kuarters guru tidak berpenghuni milik KPM di seluruh negara,” ujar KPM dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Dr. Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) di Dewan Rakyat, semalam.

Dr Mastura dalam soalnnya meminta Menteri Pendidikan menyatakan mengikut kajian kementerian berkenaan kuarters guru Taman Sri Serdang, Kepala Batas.

Beliau yang ingin tahu bilakah pihak kementerian bercadang untuk jadikan kuarters tersebut sebagai kuarters yang boleh disewa kepada orang awam.

Menurut KPM, dapatan kajian perunding setelah mengambil kira penilaian faktor lokaliti dan Building Conditional Assessment (BCA), kuarters guru di Taman Seri Serdang sesuai ditukar fungsi dan dibuka kepada sewaan awam.

Katanya, pada awal tahun 2024, KPM telah pun menerima beberapa permohonan daripada agensi/syarikat swasta yang berminat untuk menyewa Kompleks Institusi Pendidikan (KIP) Seri Serdang tersebut.

“KPM sedang dalam pertimbangan untuk menyewakan kuarters guru Seri Serdang berkenaan kepada agensi yang berkelayakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

Ulasan