2,292 guru CoS telah dilantik pada 2022



2,292 guru CoS telah dilantik pada 2022
March 13, 2024

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pengambilan guru secara lantikan contract of service (CoS) dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan yang tidak dapat ditampung oleh graduan pendidikan.

Menurut KPM, guru-guru lantikan CoS itu akan dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang sesuai melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) sebelum dilantik tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Katanya, pada tahun 2022, seramai 2,292 orang guru CoS telah dilantik.

Daripada jumlah tersebut, ujarnya seramai 241 orang guru CoS telah memenuhi syarat dan dilantik tetap oleh SPP manakala baki guru CoS yang telah tamat PDPP sedang dalam proses temu duga untuk dilantik tetap oleh SPP.

Menurut KPM lagi, bagi urusan pengambilan guru CoS tahun 2023 pula, SPP baharu sahaja mengumumkan keputusan temu duga lantikan guru CoS seramai 6,313 orang pada 8 Februari lalu.

KPM menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) di Dewan Rakyat, semalam.

Khairil Nizam dalam soalannya meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah guru kontrak yang diambil pada tahun 2022 dan 2023 dan berapa yang telah diserap sebagai perjawatan tetap.

Beliau juga mengemukakan pertanyaan berapa nisbah jumlah guru:murid ketimbang nisbah standard peringkat dunia.

Menurut KPM, nisbah guru murid ialah purata bilangan murid bagi setiap guru pada peringkat pendidikan tertentu.

Katanya, pada tahun 2023, nisbah guru murid di peringkat nasional bagi sekolah rendah ialah seorang guru kepada 12.87 murid di Semenanjung Malaysia, seorang guru kepada 11.70 murid di Sabah dan seorang guru kepada 9.99 murid di Sarawak.

“Manakala nisbah guru murid di peringkat nasional bagi sekolah menengah pula ialah seorang guru kepada 11.26 murid di Semenanjung Malaysia, seorang guru kepada 12.87 murid di Sabah dan seorang guru kepada 12.55 murid di Sarawak,” ujarnya.

Jelas KPM lagi, nisbah guru murid Malaysia telah berada pada tahap yang baik berbanding negara seperti Singapura 13.84 dan Amerika Syarikat 13.57 pada peringkat rendah.

Tambahnya, manakala pada peringkat menengah, nisbah guru murid bagi negara Singapura ialah 11.63 dan Amerika Syarikat 14.74.

Katanya, berdasarkan data pada 30 September 2023, sebanyak 2,065 buah daripada 10,233 buah sekolah adalah Sekolah Kurang Murid (SKM) mengikut kriteria Anggaran Belanja Mengurus (ABM).

“SKM menjadi penyumbang kepada ketidakseimbangan saiz kelas bagi sekolah-sekolah di bandar dan luar bandar. SKM mencatatkan nisbah murid-guru iaitu 5.48,” ujar KPM.

Walau bagaimanapun, katanya sebanyak 8,168 buah sekolah bukan kurang murid mencatatkan nisbah murid-guru bagi peringkat rendah ialah 12.60 manakala peringkat menengah ialah 11.81. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

Ulasan