AS tegur Israel kerana berdolak dalih dalam rundingan damai Israel-Palestin

AS tegur Israel kerana berdolak dalih dalam rundingan damai Israel-Palestin
Mac 5, 2024 @ 9:05am
Khemah sementara menempatkan jenazah penduduk Palestin yang terbunuh dalam serangan terbaharu Israel, di hospital Shifa, di mana ramai lagi mangsa turut menerima rawatan di gaza. - Foto REUTERS


WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris, menegur Israel kerana terus berdolak dalih dalam rundingan damai berhubung perang Israel-Palestin.

Katanya, setiap saat yang dibazirkan itu memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan membuatkan dunia semakin tertekan dan kecewa dengan sikap regim Yahudi yang semakin menguji kesabaran.

Beliau menyuarakan kebimbangan itu ketika rundingan dengan menteri tanpa portfolio Israel, Benny Gantz, yang turut menganggotai Kabinet perang Israel dan dilihat sebagai pesaing utama Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Kenyataan Harris itu disifatkan sebagai antara kritikan paling serius dan paling menyengat terhadap Israel sejak perang bermula.
DISYORKAN UNTUK ANDA









Beliau turut menggesa Israel untuk memberikan lebih banyak bantuan kepada wilayah Palestin, sambil mendesak Hamas untuk menerima perjanjian gencatan senjata selama enam minggu.


Pertemuan dengan Gantz, bekas ketua tentera berhaluan tengah, menggariskan kekecewaan yang semakin meningkat dari Rumah Putih terhadap cara kerajaan sayap kanan Netanyahu meneruskan perang, menyebabkan lebih 30,000 mangsa maut, sekali gus mencipta krisis kemanusiaan di Gaza.


Perkembangan itu juga menunjukkan tanda perpecahan dalam kerajaan Israel.

Gantz, yang meninggalkan pembangkang politik untuk menyertai Kabinet perang selepas serangan Hamas pada 7 Oktober, tidak bersetuju dengan strategi Netanyahu membebaskan tebusan dan mencari jalan keluar daripada konflik itu.

Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris. - Foto AFP



"Naib presiden menyatakan kebimbangannya yang mendalam tentang keadaan kemanusiaan di Gaza," kata pejabat Harris dalam satu kenyataan.

"Beliau mengesa Israel mengambil langkah tambahan untuk meningkatkan aliran bantuan dan menyeru Hamas untuk menerima syarat di atas meja," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden berdepan tekanan politik yang teruk pada musim pilihan raya berikutan sokongan padu Demokrat terhadap Israel walaupun jumlah kematian orang awam di Gaza meningkat.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata mereka mencatakan sebanyak 30,534, kematian dengan kebanyakkannya wanita dan kanak-kanak.

Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas selepas serangan 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel selatan yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang, menurut pengiraan angka rasmi AFP.

Israel berkata mereka percaya 130 daripada 250 tawanan yang diculik oleh Hamas dalam serangan itu kekal ditahan di wilayah yang dikepung, namun orang 31 telah terbunuh.

Gantz turut bertemu dengan Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan dan Setiausaha Negara Antony Blinken.

Menteri tanpa portfolio merangkap anggota Kabinet perang Israel, Benny Gantz, selepas pertemuan dengan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris. - Foto AFP



Rumah Putih menolak cadangan rundingan itu boleh memburukkan lagi ketegangan dengan Netanyahu, dengan mengatakan Gantz telah meminta pertemuan itu semasa berada di Washington.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS John Kirby memberitahu pemberita, Israel juga telah membentangkan cadangan untuk gencatan senjata yang kini terpulang kepada Hamas untuk menerima,

Pada Ahad Harris, 59, menggesa gencatan senjata segera, menggunakan bahasa yang tegas untuk mengatakan Israel tiada alasan untuk tidak membenarkan lebih banyak bantuan.

Keesokan harinya beliau menafikan sebarang perselisihan antara dirinya dan Biden, 81, kerana kenyataannya lebih tegas daripada yang pernah dilakukan presiden dalam mengkritik Israel.

"Presiden dan saya telah sejajar dan konsisten dalam pendirian kamisejak awal lagi," kata Harris kepada pemberita.

Gantz menyertai kabinet perang lima orang yang dibentuk selepas 7 Oktober dalam usaha untuk mewujudkan perpaduan di negara itu.

Beberapa minggu kebelakangan, ini beliau telah memberi tekanan kepada Netanyahu mengenai strategi keluar untuk perang. - AFP

Ulasan