Beras tempatan masih tiada di pasaran?





Beras tempatan masih tiada di pasaran?
Beras putih tempatan masih sukar diperoleh di pasaran.
Oleh NURUL IRDINA SUMALI
29 Mac 2024, 7:10 am

PETALING JAYA: Bekalan beras putih tempatan (BPT) yang berharga RM26 bagi pek 10 kilogram masih lagi sukar didapati oleh pengguna dalam pasaran walaupun telah mendapat jaminan daripada pihak kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Petugas Khas (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Negara bagi Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, berdasarkan tinjaun yang dibuat oleh pihaknya, bekalan beras putih tempatan masih tidak banyak di pasaran.

“Dari 173 lokasi yang kita tinjau termasuk Mydin, Lotus dan KK Mart, hanya enam lokasi yang mempunyai bekalan beras tempatan itupun sangat sedikit dan tidak melebihi 100 kampit,” katanya.

Terdahulu akhbar ini melaporkan pengguna ak­hirnya dapat membeli beras putih tempatan yang berharga RM26 bagi pek 10 kilogram selepas enam bulan beras berkenaan tiada dalam pasaran.

Isnin lalu, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, beberapa lokasi utama di seluruh negara sudah tiada bekalan BPT sejak lebih empat bulan lalu.

Menurut beliau, keadaan itu berbeza dengan pengumuman termasuk daripada Ketua Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).


“Lebih merunsingkan apabila rakyat terpaksa berhadapan isu harga beras putih import (BPI) yang masih dianggap tinggi menjelang musim perayaan,” katanya.
Syed Abu Hussin Hafiz berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan kerajaan yang memberi jaminan berhubung bekalan beras tempatan tersebut.

Namun, setakat lapan hari selepas pengumuman yang dibuat itu, bekalan beras putih tempatan masih lagi sukar untuk didapati.

“Jadi saya minta Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood, untuk menjelaskan perkara ini kepada rakyat,” katanya.

Turut senada dalam isu berkenaan ialah Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake) Mohamad Yusrizal Yusoff yang menyatakan bekalan beras putih tempatan masih ‘belum nampak bayang’ di kebanyakan pasar raya.

Katanya, keadaan itu menyukarkan pengguna berbelanja dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin hampir.

“Saya sendiri buat tinjauan dan semakan, yang ada hanya beras import yang dijual pada harga RM30 bagi pek 10 kilogram, bukan semua rakyat mampu.

“Kita berharap menjelang raya, bekalan beras puth tempatan sudah ada banyak, pengguna boleh beli dengan hati yang senang,” jelasnya. – UTUSAN

Ulasan