CEO Boeing letak jawatan : Dave Calhoun



CEO Boeing letak jawatan
Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA
26 Mac 2024, 10:15 am

NEW YORK: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boeing, Dave Calhoun bakal meletakkan jawatan hujung tahun ini selepas syarikat itu dilanda krisis yang menjejaskan piawaian kualiti dan rekod keselamatannya.

Boeing juga memaklumkan Ketua Bahagian Penerbangan Komersialnya itu akan bersara serta-merta, manakala, pengerusinya tidak akan bertanding bagi pemilihan semula.

Syarikat itu berdepan beberapa siri insiden keselamatan melibatkan pesawat Boeing 737 Max apabila pintu yang tidak digunakan meletup sejurus berlepas.

Walaupun tiada penumpang yang cedera, insiden itu menjejaskan aspek piawaian keselamatan dan kawalan kualiti syarikat itu.

Insiden seterusnya melibatkan kebakaran enjin Boeing 747 sejurus berlepas dari Florida, bulan sama.

Awal bulan ini, sebuah pesawat Boeing 777 yang menuju ke Jepun terpaksa melakukan pendaratan kecemasan sejurus berlepas dari San Francisco apabila sebuah roda terjatuh sehingga merosakkan beberapa kereta di tempat letak kereta lapangan terbang itu.


Minggu lalu, pihak berkuasa New Zealand melancarkan siasatan selepas Boeing 787 Dreamliner kehilangan altitud ketika penerbangan dari Sydney ke Auckland sehingga mencederakan beberapa penumpang.

Bulan lalu, Pengawal selia Penerbangan Amerika Syarikat (AS) memberi Boeing 90 hari bagi mengemukakan pelan menangani isu kawalan kualiti.-BBC

Ulasan