Daim, keluarga gagal cabar tindakan SPRM
DAIM ZAINUDDIN
Oleh SUWARNI MOKHTAR
5 Mac 2024, 7:15 am

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya gagal mendapat kebenaran untuk mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat dan membekukan semua aset mereka.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid memutuskan demikian atas alasan pemohon gagal membuktikan sebarang niat jahat pihak responden dalam tindakan mereka.

Selain Daim atau nama penuhnya Che Abdul Daim Zainuddin, turut disenaraikan sebagai pemohon ialah isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid; empat anak mereka, Asnida, Md. Wira Dani, Muhammed Amir dan Muhammed Amin Zainuddin serta syarikat Menara Ilham Sdn. Bhd. yang memiliki bangunan terlibat.

Daim dan keluarganya memfailkan semakan kehakiman pada 10 Januari lalu dan menamakan SPRM dan Pendakwa Raya sebagai defendan pertama dan kedua.

“Dakwaan bahawa siasatan SPRM yang akhirnya membawa kepada pendakwaan ke atas pemohon pertama (Daim) dan kedua (Na’imah) adalah bermotifkan politik perlu ditangani di mahkamah jenayah.

“Percubaan membatalkan pendakwaan ke atas pemohon pertama dan kedua di Mahkamah Sesyen juga perlu dibuat di mahkamah jenayah bukan melalui semakan kehakiman. Permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman ditolak dan tiada perintah untuk kos,” kata hakim itu.


Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM serta pegawainya tiada sebab munasabah untuk menjalankan siasatan bermula Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan terhadap mereka.

Jika mahkamah memberikan kebenaran itu, Daim dan keluar­ga memohon perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan mengikut Aturan 53 Kaedah 3(8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Melalui afidavit sokongan dalam permohonan berkenaan, Daim mendakwa dirinya adalah ahli perniagaan kaya dan berjaya sebelum menyertai politik dan menjawat jawatan awam.

Menurutnya, pegangan saham beliau saja akan bernilai lebih RM50 bilion jika kekal dalam perniagaan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengembangkan asetnya secara aktif.

Beliau menceburi bidang perniagaan sebelum mengasaskan Syarikat Maluri Sdn. Bhd. bersama rakan kongsi lain dan terlibat dalam pembangunan hartanah pada atau sekitar 1969.

Tambahnya, walaupun terdapat nama rakyat Malaysia lain yang disebut dalam Kertas Pandora namun mereka tidak disiasat oleh SPRM. – UTUSAN

Ulasan