Dasar berkecuali Malaysia elak terperangkap saingan AS-China




Dasar berkecuali Malaysia elak terperangkap saingan AS-China
Oleh Shahidah Abdul Razak - Mac 16, 2024 @ 12:42pm

Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan rasmi ke Australia termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Melbourne minggu lalu mengenai hubungan Malaysia-China memberi mesej jelas bahawa Malaysia kekal dengan dasar berkecuali dalam memeta hubungan diplomasi dan perdagangan antarabangsa.

Walaupun mendapat kecaman dan sindiran dari Barat sambil menyifatkan Malaysia serta beberapa negara anggota ASEAN tunduk kepada Beijing, namun ia dibalas Perdana Menteri yang menyifatkan segala percubaan untuk menghalang peningkatan ekonomi dan kemajuan teknologi China akan hanya mencetuskan ketegangan berlanjutan di rantau ASEAN.

Pada masa sama, negara blok di Barat harus menerima kenyataan China adalah sebuah negara kuasa besar akan menyumbang ke arah kestabilan lebih signifikan di rantau Asia Tenggara.

DISYORKAN UNTUK ANDA









Apa yang dizahirkan Anwar ketika di Australia memberi isyarat Malaysia kekal menyokong program yang dapat menjamin keamanan serantau termasuk kepentingan kuasa China di Asia Tenggara sebagai pengimbang kuasa.


Di bawah kerajaan Malaysia MADANI, Malaysia kekal menyokong hubungan diplomatik yang akan memberikan keuntungan kepada dua-dua belah pihak.


Sejak sekian lama, selepas normalisasi hubungan di antara dua negara yang terjalin sejak 50 tahun lalu, Malaysia sebagai negara kecil dan berkecuali dalam dasar luar negaranya sentiasa memilih jalan damai dalam apa sahaja konflik berlaku dengan negara lain termasuk China.

Sementara itu, China bukan sahaja memainkan peranan penting dalam hubungan dua hala, tetapi juga negara ASEAN secara keseluruhannya.


Lawatan sulung Anwar ke China pada Mac 2023 selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022 memberi gambaran kepada dunia bahawa, China adalah rakan diiktiraf kepentingannya dalam pelbagai sudut ekonomi, perdagangan, teknologi dan juga geopolitik.

Dasar luar Malaysia yang praktikal ini dilihat dapat mengekalkan status Malaysia yang tidak menyokong mana-mana kuasa besar dalam pentadbirannya.

Realitinya, China adalah di antara rakan dagang terbesar Malaysia sejak beberapa tahun lalu dan banyak projek berskala mega dimeterai kedua-dua kerajaan.

Sebagai contoh China melabur melalui projek infrastruktur di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang bukan hanya memberikan pulangan jangka masa panjang kepada negara tetapi juga kepada sektor pekerjaan di negara ini.

Situasi 'menang-menang' adalah sasaran utama kepada projek ini walaupun ada pihak mendakwa negara akan terjerat dalam situasi hutang besar dengan China.

Malaysia dalam dasar luarnya dengan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China menggunakan konsep 'hedging' sebagai langkah untuk meneutralkan atau menyeimbangkan kuasa besar ini.

Sebagai negara kecil, Malaysia perlu beradaptasi dengan dasar luar negara kuasa besar bagi memastikan kedaulatan negara terpelihara tanpa mewujudkan permusuhan dengan mana-mana negara.

Cuba perluas pengaruh

Dalam keadaan dua kuasa besar, AS dan China cuba untuk menguasai dan memperluaskan pengaruh dan kuasanya di rantau Asia Pasifik khususnya perairan Laut China Selatan, Malaysia perlu memilih jalan selamat untuk tidak menyebelahi mana-mana kuasa besar, malah perlu lebih berhati-hati menyeimbangkan kuasa besar ini ke arah lebih positif dalam konteks hubungan antarabangsa dan perdagangan.

Kerjasama antara negara adalah pilihan utama bagi keadaan ini untuk mengelak sebarang konflik berlaku. Dalam konteks hubungan diplomasi dengan China, ia bukan sahaja penting untuk hubungan dua hala, tetapi juga sebagai rakan dialog melalui kerjasama Forum Serantau ASEAN (ARF).

ARF ditubuhkan pada 1993 melalui ASEAN iaitu organisasi antara kerajaan di Asia Tenggara ditubuhkan pada 1967 bagi melindungi negara anggota daripada perebutan kuasa besar komunis dan kuasa Barat ketika itu.

Organisasi ini mempunyai latar belakang negara berbeza ini, bersetuju untuk tidak menjadikan benua ini sebagai kawasan perebutan kuasa di antara kuasa besar dunia khasnya blok AS dan Russia ketika itu.

Tentunya Malaysia sebagai salah satu negara penting dalam ASEAN, tidak mahu bermusuh dengan mana-mana negara kuasa besar kerana ia hanya akan menguntungkan sesebuah pihak sahaja.

Bagaimanapun, cubaan perluasan kuasa oleh China sejak kebelakangan ini membuatkan beberapa negara ASEAN tidak senang duduk dengan tindakan agresif negara itu.

Sebagai contoh, tuntutan wilayah bertindih di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan oleh China, Malaysia, Brunei, Filipina dan Vietnam menggambarkan misi cubaan perluasan kuasa China di Asia Tenggara.

Maka, keadaan ini perlu di tangani dengan bijaksana. Ketegasan Malaysia harus dipuji apabila berani menyuarakan pendirian yang tegas tanpa memanjangkan konflik perebutan kedaulatan.

Apa yang pasti, hubungan Malaysia dengan China dan negara Barat sudah lama terjalin, maka ia harus dikekalkan dan dibugarkan. Kedua negara ini mempunyai kepentingannya tersendiri kepada Malaysia dan hubungan diplomasi ini harus dipelihara tanpa menyebelahi mana-mana kuasa besar.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Negeri Sembilan

Ulasan