Derita rakyat di bawah cengkaman Kerajaan Madani



Che’gu Bard ketika muncul di pejabat HarakahDaily di Kuala Lumpur untuk program Bicara Harakah. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee

Derita rakyat di bawah cengkaman Kerajaan Madani
March 27, 2024
)


KUALA LUMPUR: Ramai dalam kalangan rakyat di negara ini yang benar-benar menderita dengan kenaikan kos sara hidup ketika beradi di bawan cengkaman era pentadbiran Kerajaan Madani pada ketika ini.

Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin (atau Che’gu Bard) berkata, fakta tersebut bukan sahaja dalam dilaporkan media pembangkang tetapi juga dalam mana-mana media utama negara.

“Malah setiap kali ada individu berjumpa dengan saya, ramai yang mengeluh mengenai permasalahan tersebut yang mana ada yang terpaksa berhutang semata-mata untuk menampung kos sara hidup itu sendiri,” katanya.

Menurut beliau, masalah sebegini juga adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan dalam menguruskan ekonomi domestik negara ini.

Tambahnya, ini diparahkan lagi pula dengan amalan rasuah di negara ini, yang menyaksikan rakyat terpaksa menanggung pelbagai akibat daripada tindakan tersebut.

“Sementelah, saya ada dengar amalan rasuah sendiri diamalkan di sesetengah pemilik kawasan bazar Ramadan, yang mana perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku.

“Ia ditambah lagi dengan masalah-masalah lain seperti nepotisme dan kronisme, yang menyaksikan masalah sebegini lebih teruk daripada kerajaan-kerajaan sebelum ini, manakala rakyat pula terpaksa menghadapi pelbagai bebanan hutang yang mengeruhkan lagi keadaan sedia ada.

“Kebanyakan menteri dalam kerajaan Madani pula tidak mempunyai pengalaman susah-senang bersama-sama rakyat biasa kerana hanya melihat berdasarkan kaca mata golongan kayangan sahaja semata-mata,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Harakah berjudul, Derita Rakyat Memuncak Di Era Madani yang diadakan secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini, hari ini, dan juga boleh diikuti melalui Facebook HarakahDaily.

Sistem PADU perlu dimansuhkan

Beliau dalam pada turut menyatakan bahawa terdapat isu keselamatan yang berlaku dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU), sambil menasihatkan ramai rakyat untuk tidak mendaftar dalam sistem tersebut.

Kata beliau, ini ditambahkan lagi pula dengan kerajaan Sarawak yang mula mengarahkan agensi-agensinya untuk tidak menggunakan sistem tersebut.

“Bagi saya, sistem PADU perlu dimansuhkan kerana terlalu banyak kelemahan yang berlaku dalam sistem itu sendiri dan apa pun saya nasihatkan orang ramai untuk tidak mendaftar sistem tersebut.

“Sebenarnya telah banyak isu lagi yang telah ditimbulkan oleh kerajaan Madani sehingga menyebabkan rakyat bukan Melayu sendiri mula mempersoalkan pengurusan ekonomi domestik negara ini sendiri.

“Jadi, kerajaan tidak perlu lagi bermain politik semata-mata kerana kebajikan rakyat merupakan matlamat utama yang perlu diberikan oleh mana-mana kerajaan sekalipun,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

Ulasan