Kastam rampas 73 pek kurma disyaki produk dari Israel
Bernama
Mac 13, 2024 16:01 MYT
Sazali (tiga, kiri) menunjukkan rampasan kurma disyaki produk dari Israel pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, hari ini. - Foto Bernama
KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 73 pek buah kurma disyaki produk dari Israel dalam satu serbuan di sebuah gudang penyimpanan makanan di sini, semalam.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata dalam serbuan pada 11.30 pagi itu pihaknya menemukan produk dengan label 'Organic Jumbo Medjool Dates' dipercayai dibawa masuk secara pukal dan dibungkus semula untuk dijual di pasaran tempatan.
"Sebanyak 14.6 kilogram pek buah kurma bernilai RM678 dirampas dan pemeriksaan ke atas spesifikasi produk pada pek berkenaan juga menemukan perkataan 'product of Israel'. Kita percaya kurma ini dibawa masuk dari sebuah negara eropah sejak 2022," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik perniagaan itu ditahan bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Katanya serbuan dan pemeriksaan itu dilakukan susulan video tular di media sosial baru-baru ini berkenaan sebuah premis menjual buah kurma yang disyaki produk dari Israel.
Ulasan
Catat Ulasan