Ke mana hilang beras tempatan?


Ke mana hilang beras tempatan?
BERAS import menenuhi rak di pasar-pasar raya manakala beras tempatan boleh dikatakan jarang ditemukan sejak setahun lalu. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Oleh HAFIZ MUTALIB
14 Mac 2024, 8:01 am

KANGAR: Isu ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran menimbulkan tanda tanya ke mana hilangnya hasil yang dikeluarkan para petani negara ini yang jumlahnya sekitar 1.6 juta tan metrik setahun.

Orang ramai tertanya-tanya ke mana perginya beras yang dihasilkan dari kawasan Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA), Sekinchan dan lain-lain yang sepatutnya menampung lebih 60 peratus daripada keperluan negara.

Senario sekarang seolah-olah menggambarkan Malaysia mengimport beras 100 peratus kerana yang dijual dikedai semua dilabelkan sebagai import.
Sedangkan realitinya beras import hanya sekitar satu juta tan metrik atau kira-kira 40 peratus.

Rata-rata rakyat pula mengeluh kerana jika dahulu boleh beli beras tempatan pada harga RM26 bagi kampit 10 kilogram, kini ia hampir tidak lagi kelihatan kerana yang ada di rak-rak pasar raya dan kedai runcit sejak setahun lalu semua­nya dilabelkan sebagai beras import.

Jika ada sekali pun, mungkin ketika Jualan Rahmah dan Jualan Madani yang dianjurkan sekali-sekala oleh pasar raya-pasar raya di beberapa tempat sahaja. Itupun stok beras tempatan yang biasa­nya dijual dalam kampit lima kilogram cepat habis.

Tinjauan di beberapa negeri seperti Selangor, Kedah dan Perlis pada hari pertama Ramadan kelmarin mendapati, bekalan beras import memenuhi rak di pasar raya-pasar raya dan kedai-kedai runcit. Harga beras import pelbagai jenama dijual RM40 hingga RM65 bagi kampit 10 kilogram.


Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, masalah ketiadaan beras tempatan sejak setahun lalu diyakini terus berlarutan selagi tidak diselaraskan gred tunggal beras import dan tempatan.

Katanya, agensi-agensi yang membantu membekalkan beras tempatan kepada peruncit antaranya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) jika dilihat sebenarnya tidak cukup dan tidak sampai satu peratus.

Menurut beliau, berikutan masalah tersebut, rakyat terpaksa menggunakan beras import dengan harganya jauh lebih mahal berbanding tempatan.

“Sebab itu kena selaras satu gred beras sahaja dan ditetapkan satu harga. Isu ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran ini bukan baharu malah sudah hampir setahun.

“Sebagaimana yang saya selalu ulang, punca ketiadaan bekalan beras tempatan ini apabila pemborong-pemborong besar mencampur beras tempatan dan import seterusnya dijual pada harga beras import bagi mengaut lebih keuntungan.

“Jadi, mereka juga tidak kisah untuk membeli padi dengan harga lebih tinggi melebihi RM1,300 per tan metrik. Beli harga padi dengan harga melebihi RM1,300 memang sukarlah menghasilkan beras berharga RM26,” dakwanya.

Pada 2019, Malaysia merekodkan pengeluaran 1,516,341 tan metrik beras putih tempatan manakala pada 2020 sebanyak 1,624,468 tan metrik, 2021 pula sebanyak 1,686,368 tan metrik, tahun 2022 sebanyak 1,574,960 tan metrik dan sehingga Oktober 2023 adalah 1,181,911 tan metrik.

Sementara itu, seorang pesawah, Mohd. Nazri Subuh,48, berkata, penguatkuasaan perlu lebih tegas dalam mengatasi isu ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran bagi mengelak masalah sama terus berulang.

Katanya, masalah ketiadaan beras tempatan bukan baharu sedangkan pesawah menyediakan bekalan padi bagi menghasilkan beras yang disifatkan cukup untuk menampung keperluan pengguna.

“Di peringkat pesawah, kita pun tidak pasti bila masalah ketiadaan bekalan beras tempatan ini akan berakhir. Mungkin cadangan menetapkan satu gred beras ini perlu dilaksanakan dengan harga RM30 ke RM35,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengguna, Ismail Hashim 50, berkata, sudah lama keluarganya menggunakan beras import dengan harga lebih mahal berikutan kesukaran mendapatkan beras tempatan di pasaran.

Malah katanya, bagi Ramadan kali ini, zakat fitrah yang ditetapkan di negeri ini adalah RM7 bagi yang menggunakan beras tempatan dan RM10 bagi penggunaan beras import.

“Kebanyakan penduduk sekarang makan beras import kerana kesukaran mendapatkan beras tempatan, jadi perlu membayar zakat fitrah pada kadar RM10,” katanya. – UTUSAN

Ulasan