Keadaan padang Bukit Jalil jadi tanda tanya


Keadaan padang Bukit Jalil jadi tanda tanya

KEADAAN terkini permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang menampakkan beberapa bahagian tidak berada dalam keadaan terbaik menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman esok. Gambar: MUHAMAD IQBAL ROSLI
Oleh ROZAIDI ZULKIFLI
25 Mac 2024, 7:00 am

PETALING JAYA: Berbaki satu hari sebelum sepak mula perlawanan keempat Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Oman esok, keadaan padang dilihat tidak berada dalam keadaan terbaik.

Situasi berkenaan menunjukkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) seperti tidak menjadikan perkara sebelum ini yang terjadi sebagai pengajaran, sebaliknya hanya pandai menabur janji dan pada akhirnya skuad Harimau Malaya menjadi mangsa.

Tidak dinafikan keuntungan dijana PSM dalam membenarkan konsert dianjurkan adalah berlipat kali ganda berbanding perlawanan bola sepak yang memerlukan beberapa perlawanan menerusi kehadiran penyokong memenuhi stadium.

Jika dilihat daripada pandangan jarak jauh menerusi drone yang diterbangkan oleh Utusan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), keadaaan padang jelas masih rosak, bertompok dan berpasir pada beberapa bahagian rumput.

Keadaan terkini itu sudah tentu memberi kebimbangan kerana akan menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan selain Harimau Malaya memerlukan kemenangan selepas tewas 0-2 kepada Oman di Muscat Jumaat lalu.

Kerosakan padang itu berpunca daripada penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari lalu.


Perkara sama berlaku ketika aksi final Piala Malaysia November tahun lalu selepas konsert Coldplay hingga menyebabkan kemeriahkan perlawanan itu terencat.

Terdahulu, Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac memberikan bayangan keadaan padang itu mampu diperbaiki menjelang perlawanan berkenaan.

“Kita jumpa 26hb untuk Malaysia lawan Oman dekat Stadium Nasional Bukit Jalil…kita balas 0-2 itu ‘guys’.

“Gambar padang itu bukan semalam atau hari ini, kita tunggu hari perlawanan,” tulis Hans dalam Instagram Story miliknya dan turut mengajak orang ramai memenuhi stadium menyaksikan aksi Harimau Malaya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta peminat sukan tanah air menunggu ke hari perlawanan esok untuk melihat sendiri permukaan padang SNBJ dan beliau turut menafikan gambar tular yang memaparkan keadaan padang yang teruk adalah gambar terkini padang keramat Harimau Malaya.-UTUSAN

Ulasan