Kebakaran hutan Bukit Broga dipadam sepenuhnya awal pagi tadi


Kebakaran hutan Bukit Broga dipadam sepenuhnya awal pagi tadi
Oleh Safeek Affendy Razali - Mac 18, 2024 @ 7:33am

KAJANG: Kebakaran hutan Bukit Broga di Semenyih, di sini, sejak lewat petang semalam dipadam sepenuhnya awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, berkata, operasi pemadaman ditamatkan pada jam 3.30 pagi.

Kebakaran hutan Bukit Broga di Semenyih, sejak lewat petang semalam dipadam sepenuhnya oleh bomba awal pagi tadi. - Foto JBPM Selangor

"Seramai 28 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, BBP Bangi dan BBP Ampang terbabit dalam operasi pemadaman api di hutan berkenaan.
DISYORKAN UNTUK ANDA









"Kebakaran membabitkan kawasan hutan di puncak Bukit Broga dengan anggaran seluas dua hektar. Kebakaran mudah merebak ke beberapa tompok-tompok api disebabkan tiupan angin di sekitar bukit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Antara anggota yang terbabit dalam operasi pemadaman api di Bukit Broga.



Wan Md Razali berkata, pihaknya yang tidak mempunyai akses kenderaan ke lokasi kebakaran menyebabkan anggota bomba terpaksa memanjat ke puncak bukit yang mengambil masa sekitar 30 minit hingga ke 45 minit untuk sampai ke lokasi itu.

"Pemadaman dijalankan dengan menggunakan 'fire beater' berikutan ketiadaan sumber air.

"Tindakan operasi ialah untuk menyekat api merebak di sekitar bukit, selain memadamkan kebakaran sepenuhnya," katanya.

Pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, berada di lokasi Puncak Bukit Broga, Semenyih, Kajang, bagi memadam kebakaran hutan Bukit Broga. Hadir sama Ahli Parlimen Hulu Langat, Sani Hamzan.



Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan, turut berada di lokasi kejadian bagi melihat kerja pemadaman dilakukan oleh pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Laporan kejadian kebakaran itu diterima pada jam 7.39 malam sebelum sepasukan bomba dari BBP Semenyih dan satu jentera FRT dikejarkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video di media sosial berhubung kebakaran yang berlaku di Bukit Broga, yang terkenal sebagai satu daripada destinasi popular untuk aktiviti pendakian di negara ini.

Ulasan