Kenyataan ‘primitif’ Teresa Kok menakutkan ahli akademik



Kenyataan ‘primitif’ Teresa Kok menakutkan ahli akademik
March 16, 2024

KUALA LUMPUR: Kenyataan ‘primitif’ Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang membangkitkan kononnya Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong telah mengeluarkan kenyataan yang berbaur perpecahan kaum, dikatakan bakal menakutkan ahli akademik di negara ini dalam mengutarakan pandangan.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata demikian, sambil menambah, sepatutnya ahli akademik di Malaysia diberikan sepenuh kebebasan dalam memberikan pandangan dan pendapat berdasarkan keilmuan, kajian dan pembentangan ilmiah mereka; bukan sahaja mengenai perpaduan tetapi soal ekonomi, kebajikan dan sebagainya yang berkait dengan rakyat.

“Kerajaan seharusnya perlu mengambil kenyataan mereka ini sebagai pandangan aras tinggi yang boleh dijadikan perbincangan dan brainstorm dalam kalangan ahli politik.

“Selepas ini, saya kira ahli akademik mungkin tidak selesa atau lebih berhati-hati dalam mengeluarkan suatu pandangan atau fakta-fakta ilmiah.

“Ini tidak baik kepada dunia akademik dan dunia professional pakar-pakar dalam negara kita.

“Apa sudah jadi dengan suasana negara kita? Sepatutnya kita meraikan kepelbagaian kehebatan dan juga keilmuan pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui HarakahDaily di pekarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields, di sini, semalam bagi memberi sokongan terhadap Kok Seong yang dipanggil untuk memberi keterangan.

Menurut Mohd Zai, serangan peribadi terhadap Kok Seong yang dibangkitkan dan sehingga sebagai ‘lupa daratan’ oleh Teresa telah dibangkang oleh ahli parlimen lain sehingga Teresa akhirnya terpaksa menukar label yang diberikannya kepada ahli akademik itu kepada ‘seorang yang lupa segala-galanya’.

“Ini adalah tindakan-tindakan yang dibuat norma kebiasaan dan ini menampakkan ahli parlimen ini tidak bermaklumat dan tidak berpengetahuan.”

“Saya kira, satu Malaysia mengetahui bahawa Dr Teo Kok Seong seorang yang sangat profesional dan ahli akademik yang diiktiraf keilmuan dan kemampuannya dalam mengeluarkan kenyataan tersebut,” tegas Mohd Zai.

“Beliau juga seorang pendidik dan sejarawan yang menceritakan tentang sejarah negara ini,” katanya – HARAKAHDAILY 16/3/2024

Ulasan