Kenyataan Teo Kok Seong tiada motif jahat

Mohd Khairul Azam dalam sidang media di IPD Brickfields, Kuala Lumpur pada hari ini, 15 Mac 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/ Muhammad Zharif Zulkiflee)

Kenyataa
n Teo Kok Seong tiada motif jahat
March 15, 2024


KUALA LUMPUR: Peguambela Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memberitahu bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh anak guamnya tiada motif jahat dan beliau berada di pihak yang benar.

“Beliau (Teo Kok Seong) tidak gentar dan berasa ralat dengan kenyataan yang dikenakan kerana isu-isu yang beliau bangkitkan telah lama sehingga melebihi 20 tahun dan konsisten menyuarakan berkali-kali tentang perkara ini.”

“Kita juga perlu ambil kenyataan beliau itu sebagai satu kajian akademik yang terdapat sandaran fakta dan perkara ini jarang disebut oleh ramai orang,”katanya lagi.

Mohd Khairul Azam berkata demikian dalam sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Tambah beliau, sepanjang keterangan yang diberikan selama 1 jam 15 minit itu, anak guamnya itu menjawab dengan mudah kerana beliau adalah pakar rujuk negara berkaitan dengan hal ehwal peradaban bangsa, linguistik dan perpaduan kaum.

“Beliau juga perujuk banyak agensi kementerian. Keterangan beliau juga bersandarkan daripada kajian daripada buku, The Chinese Dilemma,” jelasnya lagi

Kenyataan Kok Seong juga, ujar Khairul Azam, memberikan respons Yang Dipertuan-Agong yang pernah bertitah bahawa walaupun negara Malaysia telah merdeka melebihi 60 tahun tetapi masih ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih gagal menguasai bahasa kebangsaan.

“Jadi, kebimbangan Yang Dipertuan-Agong itu berasas. Apa yang dikatakan oleh Dr Teo satu fakta yang bersandarkan realiti dan kajian akademik.

Beliau bukan mempunyai motif jahat untuk memecahbelahkan kaum di negara kita.” tegas Mohd Khairul Azam.

Kok Seong yang disiasat di bawah Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan golongan atau kaum dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, turut hadir sebagai saksi di IPD Brickfields, di sini hari ini.

Tambah Mohd Khairul Azam, kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan dengan niat untuk pecah keamanan dan dibaca juga Seksyen 233, namun disebabkan isu yang berkaitan Akta 233 itu tidak membabitkan media sosial Kok Seong, jadi pihak lain yang akan disoal siasat.

“Oleh kerana Dr Teo adalah orang yang terakhir diambil keterangan, kertas siasatan boleh ditutup dan akan dihantar kepada peguam negara bagi tindakan dan arahan selanjutnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2024

Ulasan