Lebih 20 syarikat ‘kuasai’ pintu sempadan



Lebih 20 syarikat ‘kuasai’ pintu sempadan
Oleh MASZUREEN HADZMAN
18 Mac 2024, 7:50 am

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti lebih 20 syarikat pengimport yang ‘me­nguasai’ kegiatan penyeludupan tembakau, rokok dan arak di pintu sempadan negara.

Kegiatan yang bergerak aktif sejak 2018 hingga tahun lalu itu menyebabkan ketirisan hasil cukai negara yang dianggarkan mencecah RM400 juta.

Sumber SPRM mendedahkan, pembayaran sebanyak RM500 sehingga RM5,000 dilakukan sya­rikat tertentu kepada pegawai yang sedang bertugas.

Kata sumber itu, bayaran dibuat pemilik syarikat yang bertindak sebagai ejen-ejen penghantaran (forwarding agent) di kargo pintu masuk negara supaya tiada tindakan diambil terhadap syarikat pengimport bagi mengelak pembayaran duti kastam.

Sumber memberitahu, sindiket berkenaan lazimnya menyasarkan pelabuhan tertentu untuk menyeludup barangan yang diimport oleh pemilik syarikat pengimport.

“Kegiatan ini terdedah selepas SPRM menahan 11 individu terdiri daripada lima penjawat awam dan enam pemilik syarikat secara berperingkat bagi membantu siasatan sejak minggu lalu.


“Sebanyak 14 daripada pemilik syarikat terlibat telah dikesan dan diambil keterangan oleh SPRM manakala selebihnya diburu melalui fasa seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sumber itu berkata, lima penjawat awam dan pemilik syarikat yang direman secara berperingkat sejak 12 Mac lalu telah dilepaskan manakala seorang lagi pemilik syarikat masih ditahan bagi membantu siasatan.

Katana, siasatan SPRM turut memfokuskan kepada sindiket-sindiket penyeludupan yang berlaku di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“SPRM sedang mengesan penjawat-penjawat awam lain menerima wang rasuah daripada pemilik-pemilik syarikat ‘forwarding agent’ di situ,” katanya.

Pada 12 Mac lalu, empat penjawat awam direman empat hari kerana disyaki menerima rasuah lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram.

Susulan itu, SPRM menahan reman tiga pemilik syarikat termasuk dua berpangkat Datuk kerana disyaki memberi rasuah kepada penjawat awam berkenaan pada 15 Mac lalu.

Kesemua suspek tersebut ditahan dan direman susulan daripada operasi khas yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bermula 11 Mac lalu.

Susulan operasi khas tersebut, katanya, AML SPRM turut menyita pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer, wang tunai, rumah serta beberapa buah kereta mewah.

Sindiket itu dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Selain itu, SPRM turut membekukan sebanyak 237 akaun bank membabitkan wang berjumlah kira-kira RM12 juta.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, SPRM menyita lapan kenderaan mewah dianggarkan bernilai hampir RM6 juta milik individu yang dipercayai terbabit sindiket penyeludupan berkenaan.

Kenderaan-kenderaan itu terdiri daripada dua buah Lamborghini dan Toyota diikuti masing-masing sebuah Lexus, Mercedes Benz, BMW dan Volvo.

“Kenderaan-kenderaan ini disita daripada beberapa individu yang berjawatan sebagai pemilik syarikat serta orang tengah yang membuat bayaran wang sogokan kepada pegawai-pegawai di sebuah agensi penguat kuasa,” katanya.

Selain itu, kata sumber itu, sindiket ini dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan sitaan terhadap lapan kenderaan mewah berkenaan.

“Individu -individu yang ditahan telah disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009,” katanya. – UTUSAN

Ulasan