Madinah Ramadan: Kelantan belanja lebih RM1 juta



KOTA BHARU: Menteri Besar berkata Kelantan membelanjakan lebih RM1 juta setiap tahun bagi menganjurkan aktiviti tahunan Madinah Ramadan yang diadakan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini selama 30 hari sepanjang bulan mulia itu.

Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri menyalurkan sebanyak RM600,000 dan selebihnya disumbangkan oleh agensi dan anak syarikat kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) termasuk syarikat korporat dan swasta.

“Kita semua tahu perbelanjaan untuk kita mengadakan Madinah Ramadan setiap tahun melebihi RM1 juta, kita (kerajaan negeri) telahpun memperuntukkan satu peruntukan sebanyak RM600,000 untuk mengadakan aktiviti di Madinah Ramadan.

“Kemudian untuk memenuhi perbelanjaan sebanyak RM1 juta lebih itu, kita minta agensi-agensi kerajaan, anak syarikat kerajaan negeri dan NGO dan syarikat swasta yang ingin menyumbang kepada kejayaan Madinah Ramadan kita adakan setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Tabung Madinah Ramadan 1145H/2024 yang diadakan di Medan Ilmu, Jalan Dato Pati Kota Bharu di sini pagi tadi.

Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Mohd Anis Hussein dan wakil agensi kerajaan dan swasta negeri Kelantan.

Pada majlis itu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin), Hotel Perdana Kota Bharu menghulurkan sumbangan masing-masing kepada Tabung Madinah Ramadan.

Selain itu syarikat swasta dan NGO turut memberi sumbangan seperti Advance Research Communication Sdn Bhd dan Abroad Multi-Network Sdn Bhd, Kelmedic Sdn Bhd, Konsortium E-Mutiara Berhad, TEC United Auto Sdn Bhd, Kumpulan Pasaraya Bilion dan banyak lagi. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

Ulasan