Misi 200 tan makanan melalui tongkang ke Gaza berjaya




Misi 200 tan makanan melalui tongkang ke Gaza berjaya
KAPAL Open Arms sebelum berlepas dari pelabuhan Larnaca, Cyprus -CNBC
Oleh Wartawan Luar Negara
18 Mac 2024, 8:00 am


GAZA: Penghantaran bantuan kemanusiaan maritim pertama ke Gaza berjaya dipunggah ke pantai dan kini sedang diagihkan kepada penduduk utara Gaza.

Dilaporkan sebuah badan amal Amerika Syarikat (AS) berada di sebalik World Central Kitchen (WCK) untuk me­laksanakan misi tersebut dengan kerjasama Emiriah Arab Bersatu.

Penghantaran itu mengan­dungi 200 tan makanan yang sangat diperlukan untuk Gaza yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini berada di ambang kebuluran.

Ads by Kiosked

Penghantaran dibuat dari tongkang milik badan amal, Sepanyol Open Arms.

Kargonya membawa bara­ngan makanan termasuk kekacang, lobak merah, tuna dalam tin, kacang ayam, jagung tin, beras rebus, tepung, minyak, garam dan palet kurma yang mempunyai kegunaan untuk umat Islam di bulan Ramadan.

BARANGAN DIMUATKAN KE 12 BUAH LORI


Pengasas WCK, chef selebriti José Andrés menulis di aplikasi X bahawa semua bantuan makanan dari tongkang berjaya dimuatkan ke dalam 12 buah lori.

“Kita berjaya!. Ini adalah ujian untuk melihat sama ada kita boleh membawa lebih banyak bantuan dalam penghantaran seterusnya sehingga ribuan tan seminggu,” katanya.

Bagaimanapun, setiap bara­ngan yang dibawa oleh Sepa­nyol Open Arms diperiksa terlebih dahulu oleh pegawai Israel di pelabuhan di Cyprus.

Ads by Kiosked

PERCUBAAN LALUAN LAUT

Langkah badan amal ini secara tidak langsung menandakan permulaan percubaan untuk melihat sama ada laluan laut akan lebih berkesan daripada penghantaran udara dan darat.

Malah, agensi bantuan kemanusiaan berulang kali memberi amaran bahawa tiada kaedah bantuan yang berkesan seperti penghantaran melalui darat, tetapi mereka mengatakan sekatan Israel menyebabkan hanya sebahagian kecil daripada apa yang diperlukan sahaja berjaya dibawa masuk.

Dalam satu kenyataan, WCK berkata, semua kargo kini berjaya diturunkan dan sedang disediakan untuk diedarkan di Gaza.

Gaza tidak mempunyai pela­buhan yang berfungsi, jadi jeti sementara dibina oleh pasukan WCK dengan menggunakan runtuhan bangunan yang musnah.

HALANGAN UNTUK MENGAGIH

Ads by Kiosked

Bagaimanapun, terdapat beberapa butiran mengenai cara pengagihan bantuan dengan agensi bantuan PBB menjelaskan wujud halangan besar untuk meng­agihkan bekalan kepada mereka yang memerlukan.

Dalam satu kenyataan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, tentera mereka dike­rahkan untuk menjaga keamanan di kawasan pesisir pantai.

Penghantaran ini sangat dinanti-nantikan sejak kapal itu berlepas dari pelabuhan Lar­naca pada Selasa lalu.

Presiden Cyprus, Nikos Christodoulides memberitahu wartawan, kapal pertama mula kembali ke Cyprus dan pihaknya bersedia untuk menghantar kapal kedua.

Kapal kargo kedua berada di pelabuhan Larnaca, menunggu isyarat untuk belayar de­ngan 240 tan bantuan termasuk produk pukal.

WCK berkata, selain itu, ia akan membawa dua forklift dan sebuah kren untuk membantu penghantaran maritim pada masa depan ke Gaza.

Ads by Kiosked

Jika misi laut ini dianggap berjaya, kapal bantuan lain mungkin akan mengikuti sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa untuk mendapatkan lebih banyak bantuan ke Gaza.

Kapal-kapal itu akan menggunakan laluan laut yang baru dibuka untuk melakukan perjalanan terus ke rantau ini.

Secara berasingan, AS me­rancang untuk membina dok terapung sendiri di luar pantai untuk meningkatkan penghantaran laut.

Program Makanan Sedunia (WFP) terpaksa menghentikan sementara penghantaran daratnya selepas konvoi mendapat tembakan dan rompakan.

Jatuhan barangan dari udara (airdrop) bertukar maut minggu lalu apabila lima orang dilaporkan terbunuh apabila payung terjun gagal dan mereka terkena bungkusan bantuan berkenaan.–BBC

Ulasan