Miskin tegar: Adakah berjaya dinoktahkan?


Miskin tegar: Adakah berjaya dinoktahkan?
March 18, 2024


KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani berhasrat menoktahkan miskin tegar dalam tempoh satu tahun pemerintahan sebagaimana kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada tahun lepas.

Senator Hussin Ismail bagaimanapun mahu pihak Perdana Menteri menyatakan secara jelas peratus pencapaian kepada usaha menoktahkan kemiskinan tegar yang dihasratkan tersebut.

“Saya ingat kita semua masih sangat segar kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tahun lepas yang menyatakan untuk menoktahkan miskin tegar dalam tempoh satu tahun.

“Saya mohon untuk mendapat penjelasan Yang Berhormat Menteri, setakat ini berapa peratuskah pencapaian hasrat menoktahkan miskin tegar itu sudah pun dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat celahan soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahya kepada Perdana Menteri di Dewan Negara, Parlimen, di sini hari ini.

Pada soalan asal, Senator Datuk Mohd Hisamudin meminta penjelasan berkaitan jumlah peruntukan kewangan dan jumlah bilangan perserta yang terlibat dalam Program Pembangunan Asnaf anjuran MAIWP pada tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam jawapannya memberitahu usaha yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Berdasarkan data yang kita terolehi, untuk tahun 2023 sahaja MAIWP telah berjaya bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan tercapai.

“Jadi saya boleh laporkan di sini bahawa objektif untuk menoktahkan kemiskinan dengan usaha yang dibuat oleh MAIWP itu telah berjaya dilaksanakan pada tahun 2023,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

Ulasan