PDRM mohon wujud jabatan baharu tangani jenayan siber



PDRM mohon wujud jabatan baharu tangani jenayan siber
RAZARUDIN HUSAIN
Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM dan FITRI NIZAM
25 Mac 2024, 12:01 pm

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerajaan mempertimbangkan penubuhan jabatan baharu berteraskan teknologi bagi menangani jenayah siber di negara ini.

Mengakui tugas dan tanggungjawab pasukan semakin mencabar dan kompleks, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, teknologi digital telah mengubah revolusi dunia dan landskap kehidupan.

Malah, katanya, perkembangan teknologi ini turut menyumbang kepada kepelbagaian trend jenayah baharu.

“Justeru, jabatan baharu yang berteraskan teknologi siber ini mampu memantapkan pasukan dalam berdepan trend jenayah terkini terutamanya kecerdasan buatan (AI).

“Kita berharap hasrat murni ini dapat dipertimbangkan oleh pihak kerajaan agar kami (PDRM) dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.


Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pada itu, bersempena Hari Peringatan Polis Ke-217, Razarudin menyeru seluruh seluruh warga PDRM untuk terus memperkukuh semangat kesepakatan pasukan.

Beliau turut meminta seluruh warga pasukan ‘back to basic’ dalam setiap apa yang dilakukan.

Tegas beliau, ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ bukan sekadar slogan,malah sebagai azimat untuk terus tekad menabur khidmat kepada masyarakat.

“Kita hendaklah berusaha untuk mengembalikan citra PDRM sebagai sebuah agensi penguatkuasa utama terunggul yang berintegriti.

“Seluruh warga PDRM akan melaksanakan tugas secara profesional bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik demi mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Ulasan