Pemain Liga Premier Palestin sertai KUFC


KOTA BHARU: Bekas pemain pasukan Hilal Al-Quds dari Liga Premier Palestin, Oday Kharoub, 31, menyertai Kelantan United FC (KUFC).

Oday bekas tonggak utama skuad kebangsaan Palestin pernah beraksi dalam kejohanan Piala Asia, sehingga berjaya membawa pasukannya ke pusingan kedua.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad mengalu-alukan kedatangan Oday yang bakal menggalas sebagai pemain tengah KUFC.

“Kita berharap kehadiran Oday bersama dua pemain baru serta gabungan pemain lama akan membantu KUFC beraksi lebih baik dan cemerlang,” katanya selepas menerima kunjungan pemain terbabit di pejabatnya, hari ini. (Foto atas)

Turut hadir Presiden KUFC, Rozi Muhamad dan Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS), Mohamad Kamal Mohamed.

Sementara itu, Oday ketika ditemui berkata, beliau turut menerima tawaran untuk beraksi bersama kelab bola sepak dari Mesir dan Qatar.

Namun, katanya beliau memilih KUFC kerana kerjasama dan sokongan Malaysia terhadap nasib penduduk di Palestin yang menjadi mangsa keganasan zionis Yahudi.

“Saya senang berada di Kelantan, kebanyakan rakan (pemain bola) termasuk ketua jurulatih saya ada yang sudah syahid akibat peperangan di Gaza.

“Ketika bermain di negara lain saya membawa nama Palestin dan mahu tunjukkan kepada dunia kami juga masih boleh bermain bola,” katanya.

Oday juga berkata, beliau berusaha menguasai bahasa Melayu dan Inggeris untuk memudahkan komunikasi bersama rakan-rakan sepasukan. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

Ulasan