Pemilikan kenderaan di Malaysia nombor dua tertinggi di Asia

Pemilikan kenderaan di Malaysia nombor dua tertinggi di Asia

Pemilikan kenderaan, Malaysia nombor dua di Asia.
Oleh FITRI NIZAM
6 Mac 2024, 7:55 am

PETALING JAYA: Kemam­puan rakyat Malaysia terutamanya di Lembah Klang memiliki dua atau lebih kereta bagi setiap isi rumah menjadikan Malaysia negara kedua dengan jumlah ken­deraan berdaftar tertinggi di Asia dan paling tinggi di Asia Tenggara.

Kadar tol, harga petrol, kos penyelenggaraan, insu­rans dan cukai jalan yang dianggap masih berpatutan turut menyumbangkan kepada pemilikan kenderaan yang tinggi.

Berdasarkan kajian Pertubuhan Pengilang Kende­raan Bermotor Antarabangsa (OICA), jumlah tersebut diperoleh hasil tinjauan pemilikan kenderaan berdaftar antara 2015 hingga 2020 di seluruh dunia.

Jepun berada di tangga teratas pemilikan kenderaan tertinggi di Asia dengan rekod 612 kenderaan berdaftar bagi setiap 1,000 orang penduduk manakala Malaysia 535 unit.

Jumlah tersebut selari dengan statistik Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) apabila Menterinya, Anthony Loke Siew Fook di Dewan Negara pada Di­sember lalu mendedahkan bahawa jumlah kenderaan per­sendirian iaitu kereta mencatatkan bila­ngan tertinggi iaitu sebanyak 17,244,978 unit di seluruh negara.

Motosikal pula menjadi penyumbang kedua tertinggi iaitu sebanyak 16,773,112 diikuti kenderaan barangan (1,429,403); teksi (84,745); bas (64,021); ke­reta sewa pandu sendiri (30,318) dan kenderaan-kenderaan lain (736,410).


agaimanapun, berdasarkan statistik MOT itu, sebanyak 12.54 juta kenderaan persendirian dan kenderaan perkhidmatan awam sudah tidak lagi aktif.
KENDERAAN

Jumlah tersebut meliputi motosikal 8.2 juta; kereta (3 juta); bas (39,601); teksi (57,127); kereta sewa pandu sendiri (1,915); kenderaan barang (591,625) dan lain-lain kenderaan (560,040).

Sementara itu, Pakar Jalan Raya dari Jabatan Kejuruteraan Awam Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Madya Dr. Ng Choy Peng berkata, bilangan kenderaan di jalan raya yang amat tinggi menyumbang kepada kesesakan trafik khususnya di bandar utama di seluruh negara.

Menurutnya, kemampuan masyarakat di ibu kota seperti Lembah Klang untuk memiliki lebih daripada dua kereta setiap rumah adalah faktor utama pertambahan bilangan kenderaan tersebut di negara ini.

“Selain itu, ada faktor lain yang memberi kesan kepada pemilikan kereta yang tinggi di negara ini, antaranya kadar tol di masih dianggap mampu, harga petrol juga rendah dan lebih selesa memandu sendiri dari satu tempat ke tempat lain berban­ding menggunakan pengangkutan awam.

“Kos penyelenggaraan, insu­rans dan cukai jalan juga dianggap masih mampu milik jadi orang kita tidak melihat itu sebagai suatu masalah untuk memiliki kenderaan masing-ma­sing,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, turut menyumbang kepada pemilikan kenderaan yang tinggi adalah jaringan pengangkutan awam seperti Transit Ali­ran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan sebagainya masih belum ke tahap 100 peratus.
MEMANDU

Menurutnya, pemilik kende­raan lebih memilih untuk memandu sendiri untuk bergerak sama ada ke tempat kerja atau sebagainya memandangkan terdapat persepsi bahawa ia lebih mudah, murah dan menjimatkan masa berbanding menggunakan pengangkutan awam.

“Kos keseluruhan untuk pergi ke suatu tempat dengan memandu sendiri dan menggunakan pengangkutan awam hampir sama, malah pemilik kenderaan merasakan dengan memandu sendiri termasuk ke tempat kerja lebih mudah.

“Pada masa sama, jaringan jalan raya di ibu negara juga adalah antara yang terbaik di Asia walaupun kebanyakan laluan mengalami kesesakan tetapi ia lebih memudahkan, jadi tak hairan kenapa orang ramai memilih untuk memiliki ken­deraan sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan bahawa warga kota membazirkan kira-kira RM6.8 bilion bagi mengisi petrol akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya ketika berulang-alik ke tempat kerja selama 580 jam setahun.

Jumlah itu diperoleh berda-sarkan anggaran purata ke-sesakan lalu lintas dihadapi kira-kira 2.2 juta pemilik kende-raan dari Lembah Klang yang memasuki ibu negara semasa waktu puncak, iaitu dari pukul 6 pagi hingga pukul 9 pagi dan terpaksa menghabiskan masa selama 135 minit atau dua jam 15 minit di atas jalan raya.
Berdasarkan kajian, secara umumnya, kenderaan yang ti-dak bergerak dalam kesesakan jalan raya akan menggunakan 2.6 liter minyak setiap sejam.

Sementara itu, terdapat 10 lokasi di ibu negara dikenal pasti mengalami kesesakan trafik paling teruk dengan kadar kelewatan antara 178 minit sehingga 352 minit sehari atas pelbagai faktor termasuklah aliran kenderaan terlampau tinggi pada satu-satu masa.

Lokasi dan kadar kelewatan tertinggi yang dikenal pasti tersebut adalah di Jalan Sungai Besi dengan kadar kelewatan mencapai 352 minit, Jalan Kuching (288 minit), Jalan Sultan Azlan Shah (234 minit), Jalan Klang Lama (224 minit), Jalan Kuchai (224 minit), Le­buhraya DUKE (216 minit), Le­buhraya E37 Salak (208 minit), Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban (208 minit), Jalan Cheras (208 minit) dan Jalan Travers serta Jalan Damansara (178 minit). – UTUSAN

Ulasan