‘Pemisahan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya penamat DNAA’



‘Pemisahan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya penamat DNAA’
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Oleh Zulkifli Jalil dan Aqilah Mior Kamarulbaid
6 Mac 2024, 8:00 am



MUKADIMAH
TIDAK ambil pusing ada pihak mengata ‘demo (demonstrasi) anjurannya manja’ atau sebaliknya, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) nekad. Iaitu prinsip Bersih terus menuntut kerajaan perpaduan untuk melaksanakan janji-janji reformasi. Ini demi memastikan negara ditadbir secara adil, demokratik dan bersih.

Itu pendirian Pengerusi Bersih, MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, SYAKIR RADIN dalam pertemuan di Kuala Lumpur, Isnin lalu. Bersih, tegasnya, akan terus memperjuangkan ‘tuntutan 100 peratus reformasi’ seperti mana tertera dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
REFORMASI TERTANGGUH?

Bila sebut tuntutan reformasi 100 peratus, Bersih sebenarnya mengingatkan kerajaan dan ahli Parlimen termasuk dari pembangkang dan bebas untuk menjalin kerjasama yang lebih baik dalam pastikan setidak-tidaknya dalam tempoh empat tahun mandat rakyat ini akan ada satu perubahan struktur yang besar. Kerisauan Bersih adalah apabila isu politik yang berlarutan akhirnya menyebabkan usaha untuk reformasi itu tertangguh. Lebih malang tiada perubahan yang signifikan.

Jadi, bila Bersih anjurkan demonstrasi di hadapan Parlimen pada hari kedua Parlimen dibuka, kita ingin menggerakkan dan membangunkan kesedaran dalam kalangan ahli Parlimen dan juga kerajaan sendiri tentang kepentingan untuk laksanakan agenda reformasi. Kami optimis untuk mencapai sasaran tertentu, setidak-tidaknya sebelum habis penggal kerajaan ini.
ISU DNAA KRITIKAL

Menghentikan pemberian DNAA – dilepas tanpa dibebaskan khususnya dalam kes rasuah dan salah guna kuasa antara tuntutan kami yang paling utama. Ia berkait dengan gesaan Bersih kepada kerajaan supaya memisahkan bidang kuasa pendakwa raya dan peguam negara.

Sebab semua maklum apabila pendakwa raya itu dilihat di bawah naungan eksekutif, akhirnya akan timbulkan polemik, conflict of interest dan sebagainya. Pemisahan bidang kuasa ini ada kaitan dengan solusi DNAA. Dalam masa sama, pemisahan sepatutnya tidak jadi masalah kerana kerajaan hari ini adalah kerajaan perpaduan yang mana kedua-duanya (BN dan PH) menyatakan perjuangan sama dalam manifesto mereka.


Isu DNAA ini sangat kritikal sebab kita khuatir rakyat seolah-olah putus harapan atas usaha-usaha untuk menjadikan negara ini bersih. Menyingkap ahun 2018, Perdana Menteri ketika itu memberi DNAA kepada seorang menterinya. Begitu juga era pentadbiran kerajaan selepas itu sehingga hari ini.

Seolah-olah tiada hujung pangkal, tiada garis penamat apabila diberikan dengan mudah kepada ahli-ahli politik yang masih lagi dalam proses pendakwaan di mahkamah.

Isu pemisahan kuasa (peguam negara dan pendakwa raya) amat penting, amat kritikal untuk kerajaan percepatkan proses perbincangan tersebut. Walaupun Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengatakan ia dalam proses perbincangan, kita ingin tahu bilakah hasil perbincangan itu akan didedahkan. Kami hargai apa yang kerajaan buat tapi kita juga mahukan outcome didedahkan segera. Perlu ada garis masa dan usaha untuk menyegerakan perbincangan itu lebih lanjut.
IKUT ARAHAN?

Dalam Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “peguam negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan”

Jadi selagi mana peguam negara itu dari segi strukturnya dilihat bersama eksekutif, akhirnya akan timbulkan polemik seolah-olah peguam negara akan bertindak menjalankan budi bicaranya mengikut perlembagaan berdasarkan arahan kerajaan yang berkuasa.

Tetapi jika bidang kuasa dipisahkan, peguam negara akan terus melaksanakan kerja menjadi penasihat undang-undang kepada kerajaan, contoh tempoh hari dalam isu tuntutan Batu Puteh atau tuntutan Kesultanan Sulu.
Penting untuk peguam negara rapat dengan perdana menteri dalam menasihati perkara berkait undang-undang antarabangsa atau dalam negara.

Tetapi untuk mendakwa di mahkamah itu, pendakwa raya harus bebas daripada pengaruh kerajaan. Hal ini sudah berlarutan lama.
SIA-SIA

Tuntutan Bersih bukan sia-sia. Kerana itu penting untuk kami bekerjasama dengan semua parti politik, baik kerajaan, pembangkang atau bebas.

Saya tak fikir pembangkang akan protes kalau ada penerangan dan perbincangan yang baik dalam isu pengasingan kuasa ini. Bersih bersedia menjadi perantara antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk berbincang agenda ini.
Kami terbuka dan tidak berpartisan. Mana-mana dasar yang baik harus dibawa ke meja rundingan antara kerajaan dan pembangkang. Kita tidak mahu pertembungan politik itu menggagalkan usaha reformasi ini.
SASAR 2025

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M.Kulasegaran ada menyatakan hasil kajian terhadap tuntutan Bersih ini iaitu pemisahan bidang kuasa peguam negara dan pendakwa raya kemungkinan dibentang pada hujung tahun ini. Berdasarkan kenyataan itu, kami mahu kajian tentang pelaksanaannya dibentang di Parlimen atau diumum kepada orang ramai akhir tahun ini. Bila bentang, kita sudah boleh lihat tahun depan ke arah pelaksanaan.
BERSIH TIDAK SEAGRESIF DAHULU?

Ia bergantung pada tafsiran masing-masing. Adakah agresif itu dilihat kepada perhimpunan besar-besaran dengan penglibatan ratusan ribu orang? Hari ini kita perlu juga lihat dari sudut pasca Covid-19, yang mana rakyat lebih suka beraksi di media sosial dari fizikal. Apa yang penting momentum untuk terus lakukan reformasi itu tetap ada.
HABIBIE CONTOH?

Malaysia berada di persimpangan untuk proses transisi demokrasi. Hari ini kita ada pilihan, adakah ingin jadi seperti Indonesia semasa awal reformasi ketika era Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau mahu menjadi seperti negara di Timur Tengah.

Apa yang berlaku di Timur Tengah tentang kebangkitan rakyat melawan diktator. Tetapi tiada perubahan struktural yang signifikan dan hari ini rejim kembali seperti sedia kala.



Di Indonesia, reformasi itu lebih signifikan, seperti hak kebebasan kepada media diberikan, meminda undang-undang yang memberi hak kepada pelbagai parti politik untuk bertanding secara demokratik, perkasa hak wanita dan sebagainya. Justeru Indonesia sukar untuk dikembalikan zaman Presiden Suharto yang digelar diktator disebabkan adanya perubahan struktur.

Dalam hal ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada peluang untuk menjadi seperti Habibie dengan membina negara demokratik dan adil yang mendahului dan menjadi suri tauladan negara Islam lain. Itu yang dibuat oleh Habibie meletakkan negaranya negara demokratik terbesar dalam kalangan Asia Tenggara dan negara Islam.

Perdana Menteri juga ada ruang menjadikan Malaysia negara demokratik yang terkemuka, bertamadun, selaras dengan gagasan Madani seterusnya menjadi ikutan negara lain. Waktu yang ada jangan disia-siakan.

Ulasan