Pemuda PAS Selangor jawab 10 tuduhan tentang PASTI

Pemuda PAS Selangor jawab 10 tuduhan tentang PASTI
March 25, 2024

Sebahagian daripada 1,375 murid dari 79 PASTI seluruh Melaka diraikan dalam Konvokesyen dan Majlis Anugerah Prestasi PASTI di Dewan Ar-Rahmah, Solok Gaung, Melaka pada 3 Feb 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abu Anas)

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Selangor tampil menjawab segala tuduhan-tuduhan yang telah dilemparkan kepada mengenai isu Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

“Isu pertama adalah mengenai pemimpin PAS tidak patut lepas tangan terhadap kebajikan hampir 10,000 Guru PASTI dengan suka hati menjadikan mereka berstatus sukarelawan.

“Ingin dimaklumkan bahawa dari awal lagi, guru-guru di PASTI sudah tahu bahawa tugasan mereka adalah sukarelawan parti,” ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, isu kedua pula, tentang begitu mudah untuk menafikan hak dan kebajikan asas pekerja menerima gaji minimum, KWSP dan SOCSO.

“Pemuda PAS menganggap tiada hujahan yang konkrit untuk mengatakan PAS telah menafikan hak-hak berkenaan,” tegas kenyataan tersebut.

Tuduhan ketiga ialah guru PASTI sepatutnya diberi Skim Pencen seperti fatwa Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kerana tanpanya, ‘tidak Madani’ dan tidak ikut ‘cara Nabi Muhammad SAW’.

“Seperti sedia maklum, tugas-tugas sebagai sukarelawan di Malaysia memang tiada pencen diberikan. Sedangkan, yang nak menghapuskan pencen pekerja adalah Kerajaan Madanon (Madani),” jawab kenyataan itu.

Mengenai tuduhan keempat pula, iaitu dakwaan bahawa pemimpin-pemimpin PAS hidup senang-lenang dengan berlapis-lapis hingga empat pencen AdUN, Exco, Mentero Besar, Ahli Parlimen dan Menteri, kenyataan itu menjawab dengan persoalan yang berbunyi, “Kami ingin bertanya, bagaimana pula dengan pemimpin Madanon? Adakah mereka hidup susah? Rumah kecil? Kereta pinjam dan sebagainya?”

Sementara jawapan kepada tuduhan kelima yang mendakwa guru-guru telah dikenakan ‘brainwash’ untuk ditanam rasa agar reda bergaji cuma RM600 walaupun perlu bekerja antara 9 hingga 10 jam sehari, tanpa slip gaji dan tanpa surat tawaran, kenyataan itu menjawab, “9 hingga 10 jam sehari? Cuba tanya dulu pada ibu ayah yang hantar anak di PASTI.”

Kenyataan itu turut menyentuh tentang tuduhan keenam, yang mendakwa empat orang guru PASTI yang sedar tentang hak mereka telah mengadu ke Pejabat Buruh Alor Setar, Kedah pada tahun 2022 dan PASTI diarah bayar baki gaji minimum RM20,000.

“Ingin ditegaskan bahawa cerita ini tidak tepat dan betul. Ini kerana Mahkamah Tinggi Alor Setar sudah batalkan perintah untuk bayar RM20,000 tersebut pada 6 September 2023. Senang cerita, PASTI menang dan tiada isu kena bayar gaji minimum,” tegas kenyataan itu.

Sementara bagi tuduhan ketujuh bahawa isu Mahkamah Buruh yang memutuskan bahawa ‘Guru PASTI tertakluk kepada Akta Pekerja walaupun Ahli Parlimen Alor Setar susah payah ‘spin’ (berdolak-dalih) bahawa mereka hanya sukarelawan’, kenyataan itu menjawab dengan berkata, “Soalan kami, bilakah Mahkamah Buruh memutuskan sedemikian?

“Kalau sudah diputuskan, kenapa tular surat yang menyatakan Jemaah Menteri arah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) buat pemeriksaan berkanun?

“Jemaah Menteri patut fikir nasib rakyat, nasib rider yang pernah dijanjikan PMX dulu. Bukannya ganggu proses untuk mendidik ummah.”

Bagi tuduhan kelapan yang berbunyi, ‘waktu ini Ahli Parlimen PAS Pendang jadi Timbalan Menteri Sumber Manusia, takkan tak tahu?’ kenyataan itu dalam nada tegas menjawab: “Memang semua orang, apa masalahnya?”

Tuduhan kesembilan pula mengenai isu pemimpin PAS tidak perlu hipokrit kerana bersepah iklan di internet ‘Jawatan Kosong Guru PASTI’ dan bukannya mencari sukarelawan, kenyataan Pemuda PAS Selangor itu menegaskan bahawa tiada isu menggunakan perkataan ‘guru’ bagi individu yang mengajar walaupun ia secara sukarela.

Akhir sekali mengenai tuduhan kesepuluh, bahawa 0,000 guru-guru PASTI lain juga sewajarnya memulakan tuntutan yang sama kerana telah ada ‘precedent case’ kerana itu hak mereka, kenyataan itu berkata, “Bagi Pemuda PAS Selangor, jika mahu berikan contoh precedent case, biarlah kes yang menang dan bukan kes yang kalah. Nak ajar orang biarlah dengan fakta yang betul.” – HARAKAHDAILY 25/3/2024

Ulasan