Penganjuran Sukan Komanwel 2026 hanya bazir dana awam



Penganjuran Sukan Komanwel 2026 hanya bazir dana awam
KUALA Lumpur menjadi tuan rumah penganjuran Sukan Komanwel pada 1998. – UTUSAN
Oleh Fadhilul Izmel Ishak
13 Mac 2024, 7:45 am

PETALING JAYA: Malaysia tidak perlu menjadi ‘pak sanggup’ dengan bersetuju menerima ta­waran menganjurkan Sukan Ko­manwel 2026.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, Malaysia dianggap dangkal jika bersetuju untuk menganjurkan temasya tersebut berikutan masa persiapan mengadakannya sangat singkat.

“Kita boleh anjurkan temasya Komanwel tetapi tahun 2030 dan bukannya tahun 2026 sebab kalau kita bersetuju untuk me­lakukannya kita ada lebih kurang 24 bulan sahaja untuk membuat persiapan kerana Komanwel 2026 berlangsung pada bulan Mac.

“Memang di luar jangkaan akal untuk kita mengadakan temasya itu pada 2026. Kedangkalan itu jelas kelihatan jika kita bersetuju untuk terima dan apabila kita jadi ‘pak sanggup’ besar risikonya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebelum ini membuat tawaran kepada Malaysia untuk menganjurkan Sukan Koman­wel 2026 menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri sebagai penganjur.

CGF membuat pelawaan rasmi itu kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia pada bulan lalu.


Tambah Sadek, sekiranya Victoria terdahulu sanggup membayar denda daripada ke­putusan itu jelas menunjukkan penganjuran temasya itu menelan belanja yang besar.

“Kalau nak cakap kita boleh anjur sebab dapat dana dan tarik kemasukan kemasukan pelancong bagi saya itu kurang matang sebab kita kena tengok adakah penganjuran itu memberi manfaat kepada pemba­ngunan atlet kita sendiri.

“Kos penganjuran tinggi jadi ada baiknya ia disalurkan kepada program pembangunan atlet,” katanya.

Selain menawarkan penganjuran temasya tersebut, CGF juga bersetuju untuk memberikan suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) kepada Malaysia jika menganjurkannya.

Malah, kerajaan Victoria dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta (RM1.8 bilion) kepada CGF kerana me­langgar kontrak apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula dari 17 hingga 29 Mac 2026.

Sementara itu, Pesuruhjaya Sukan, Suhardi Alias turut mengkritik cadangan supaya Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 dalam tempoh yang singkat.

Bercakap kepada portal FMT, beliau menegaskan, rancangan itu mengejutkan, berisiko dari segi kewangan dan tidak berfikir panjang.

Suhardi yang membantah langkah oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu berkata, beliau membantah pembaziran dan awam untuk tujuan yang tidak munasabah.

“Kenapa kita pula nak jadi penyelamat Sukan Komanwel selepas Victoria, Australia tarik diri dan tidak ada negara lain pun mahu menganjurkannya,” soal Suhardi.

Beliau berkata, Victoria menarik diri kerana kos menganjurkan sukan itu meningkat di luar jangkaan, iaitu boleh mencapai sehingga AUD7 bilion (RM21 bilion) menurut kerajaan wilayah itu.

Kuala Lumpur antara pembida asal untuk Temasya 2026 itu dan bersaing dengan Cardiff (Wales), Calgary dan Edmonton (Kanada), Adelaide (Austalia) tetapi menarik diri kerana bimbangkan kos pe­nganjurannya.

“Sekiranya Victoria terpaksa bayar AUD380 juta kepada CGF kerana mungkir kontrak, berapa yang Malaysia perlu bayar sekiranya kita buat keputusan tidak menganjurkan sukan itu selepas tandatangan kontrak? AUD380 juta lebih RM1 bilion. Adakah ia berbaloi,” katanya. – UTUSAN

Ulasan